Friday, July 26, 2013

Buku: Indahnya Tasawuf dan Hidup Sufi (Ustaz Yusri Abd. Karim)

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Saya nak berkongsi satu buku berkaitan ilmu Tasawuf iaitu;

Tajuk Buku             : Indahnya Tasawuf dan Hidup Sufi
Sumber Pembelian  : MPH Alamanda Putrajaya (6/10/12)
Terbitan                  : Ustaz Yusri Abd. Karim
Harga Buku            : RM25


Terdapat 15 bab iaitu:

Bab 1 - Sejarah Kewujudan Tasawuf
Bab 2 - Ajaran Tasawuf pada zaman Khulafa' al-Rasyidin
Bab 3 - Landasan Tasawuf; Ilmu dan Amal
Bab 4 - Ilmu-ilmu Dasar Kaum Sufi
Bab 5 - Sanad dan Khirqah dalam Ajaran Kaun Sufi
Bab 6 - Kekeliruan tentang Syariat dan Hakikat
Bab 7 - Sanggahan Terhadap Pembahagian Tasawuf
Bab 8 - Fenomena Syatahat dalam kalangan Ahli Sufi
Bab 9 - Akidah Hulul dan Wahdah al-Wujud
Bab 10 - Dasar Akidah Kaun Sufi
Bab 11 - Ahli Sufi Angkatan Pertama
Bab 12 - Cabaran Golongan Antitasawuf
Bab 13 - Fitnah Terhadap Sebahagian Wali ALLAH
Bab 14 - Perkembangan Tasawuf di Nusantara
Bab 15 - Mengenali Sufi Sejati dan Sufi Palsu.

Untuk bacaan penuh, dengan izin Allah saya nak berkongsi tentang Bab 4 iaitu  Ilmu-ilmu Dasar Kaum Sufi. Mengikut buku tersebut terdapat 22 dasar ilmu iaitu:

1)AL-TAUHID – Mengesakan ALLAH
2)AL-MA’RIFAH BILLAH – Mengetahui Sifat Wajib & Mustahil bagi ALLAH
3)AL-QANA’AH – Tenang, Ikhlas & Redha
4)AL-TAWAKKUL – Tawakal
5)AL-SYUKR - Syukur
6)AL-YAQIN - Yakin
7)AL-SHABR - Sabar
8)AL-UBUDIYAH - Taat
9)AL-IRADAH – Meninggalkan kebiasaan
10)AL-ISTIQAMAH – Konsisten/Berterusan
11)AL-IKHLAS – Tujuan hanya kerana ALLAH
12)AL-SIDQ – Mengucapkan kebenaran
13)AL-HAYA’ – ‘Menciutnya’ Hati
14)AL-ZIKR – Mengingati ALLAH
15)AL-FAQR – Kefakiran
16)AL-SYAUQ – Rindu/Getaran Hati
17)AL-MUJAHADAH Melawan hawa nafsu
18)AL-KHALWAH & AL-UZLAH – Memutuskan & Mengasingkan Diri/ Sifat tercela
19)AL-WARA’ – Meninggalkan hal syubhat
20)AL-SHAMT – Banyakkan diam
21)AL-KHAUF - Takut
22)AL-JU’WA TARK AL-SYAHWAH – Lapar & Tinggalkan Syahwat

Harapan semoga ilmu tersebut dapat diambil kefahaman yang benar dan mendalam. Semoga ALLAH memberi kita semua petunjuk akan kefahamannya dan kemudahan untuk mengamalkannya. Ameen.

Selamat membaca dan beramal. ^_^

1) AL-TAUHID – Mengesakan ALLAH

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

AL-TAUHID

Ertinya Al-Ifrad; iaitu mengesakan Allah, tidak menyekutukan-Nya  dengan suatu apa pun. Ertinya tidak ada suatu apa pun yang menyerupai ALLAH.

ALLAH S.W.T. berfirman:

Maksudnya:Dan Tuhanmu ialah Tuhan yang Esa, tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Dia yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.”  (Surah al-Baqarah: 163)
Imam al-Junaid al-Baghdadi berkata: “Tauhid ialah mengesakan al-Qadim (Yang tidak memiliki permulaan; Allah) daripada al-Muhdath (Segala yang baharu; makhluk).”

Dalam kesempatan lain tentang definisi tauhid, Imam al-Junaid juga berkata:

Tauhid ialah berkeyakinan bahawa Dia (Allah) tidak ada sekutu bagi-Nya, tidak terpisah-pisah, tidak melahirkan, dan tidak dilahirkan. Dan menafikan adanya sekutu bagi-Nya, menafikan adanya lawan bagi-Nya, menafikan adanya keserupaan bagi-Nya. Serta menetapkan kewujudan-Nya tanpa ada keserupaan (Tasybih), tanpa disifati dengan sifat-sifat benda (Takyif), tanpa membayangkan-Nya (Tashwir) dan tanpa menyerupakan-Nya dengan suatu apa pun (Tamtsil). Dia Allah tidak menyerupai apa pun dan tidak ada apa pun yang menyerupai-Nya.”

Imam al-Qusyairi berkata “Tauhid ialah menghukumi bahawa Allah tidak ada sekutu bagi-Nya.”

Imam Zunnun al-Misri ketika ditanya definisi tauhid, beliau menjawab:


Tauhid ialah berkeyakinan bahawa Allah Maha Kuasa terhadap segala sesuatu tanpa Dia menyatu dengan sesuatu itu sendiri, dan bahawa Allah Pencipta segala sesuatu tanpa Dia menyentuh segala sesuatu tersebut. Sesungguhnya Allah Pencipta segala sesuatu, dan tidak ada suatu apa pun yang menciptakan Allah. Dan apa pun terbayang dalam fikiranmu tentang Allah bukan seperti yang dibayangkan itu.”

2) AL-MA’RIFAH BILLAH – Mengetahui Sifat Wajib & Mustahil bagi ALLAH

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

AL-MA’RIFAH BILLAH

Iaitu mengetahui ALLAH dengan segala sifat-sifat yang wajib bagi-Nya dan sifat-sifat yang mustahil atas-Nya.

Imam al-Qusyairi berkata:

Makrifat (al-Ma’rifah) menurut para ulama ertinya mengetahui (al-Ilm). Maka setiap pengetahuan (al-Ilm) adalah kemakrifatan (al-Ma’rifah), dan setiap kemakrifatan (al-Ma’rifah) ialah pengetahuan (al-Ilm). Demikian pula setiap orang yang disebut sebagai Arif Billah ertinya Alim Billah dan setiap Alim Billah ertinya Arif Billah. Sementara menurut ulama sufi yang dimaksudkan dengan makrifah ialah mengetahui Allah dengan segala sifat-sifat dan nama-nama-Nya, kemudian berlaku benar dalam beribadah kepada-Nya, membersihkan diri daripada akhlak-akhlak tercela, istiqamah dalam kebenaran dan membelanya dalam setiap keadaan.”

3) AL-QANA’AH – Tenang, Ikhlas & Redha

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

AL-QANA’AH

Iaitu sikap keadaan yang tenang, ikhlas dan redha ketika ketiadaan atau kehilangan hal-hal yang menyenangkan (al-ma’lufat).

ALLAH S.W.T. berfirman:

Maksudnya: “ Sesiapa berbuat kebaikan baik lelaki atau perempuan dan dia seorang Mukmin maka Kami benar-benar akan memberikan kehidupan kepadanya akanHayat Tayyibah”. (Surah al-Nahl: 97)

Secara bahasa makna “Hayat Tayyibah” ialah kehidupan yang baik. Namun para ahli tafsir banyak yang mentafsirkan makna “Hayat Tayyibah” dalam ayat di atas ialah hidup dengan sifat qana’ah. Ertinya ialah kehidupan di dunia ini.

Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W. bersabda:

Maksudnya: “Sesuatu yang sedikit yang mencukupi lebih baik daripada sesuatu yang banyak yang melalaikan.” (Riwayat Abu Ya’la)


Imam Abdullah ibn al-Khafif, salah seorang sufi terkemuka berkata: “Qana’ah ialah meninggalkan kerinduan kepada sesuatu yang tidak ada, dan merasa cukup dengan apa yang ada.”

4) AL-TAWAKKUL - Tawakal

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

AL-TAWAKKUL

Iaitu melepaskan diri daripada sikap yang merasa diri ini memiliki daya dan upaya. Sikap tawakal seorang hamba kepada Allah akan menjadi kuat apabila benar-benar ia memiliki pengetahuan dan keyakinan bahawa Allah melihatnya dan memeliharanya.

Kemudian sikap tawakal letaknya atau berada di hati. Sementara berbuat atau melakukan sebab-sebab dengan anggota zahir tidak menafikan sikap tawakal yang berada dalam hati tersebut. Tentulah ini berdasarkan daripada segala kejadian apa pun sama ada yang sudah terjadi atau yang akan terjadi, daripada segala perkara yang baik mahupun perkara yang buruk adalah dengan kehendak dan ciptaan Allah S.W.T.

Imam Hamdun al-Qasar berkata: “Tawakal ialah meminta perlindungan kepada Allah.”

Sementara Imam Abu Abdillah al-Qurasyi, ketika ditanya definisi tawakal, beliau menjawab: “Tawakal ialah bersandar kepada Allah dalam setiap keadaan.”

Imam Ahmad ibn-Masruq berkata: “ Tawakal ialah berserah diri (ikhlas) terhadap segala ketentuan Allah.


Imam Abu Nasr al-Sarraj berkata: “ Syarat tawakal sebagaimana yang dikatakan oleh Abu Turab al-Nakhsyabi, ialah mencampakkan badan hanya untuk ibadah kepada Allah, mengaitkan hati hanya kepada-Nya, tenang dengan apa yang ada, jika diberi ia bersyukur, dan jika tidak diberi ia bersabar.”

5) AL-SYUKR - Syukur

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

AL-SYUKR

Iaitu menggunakan segala nikmat yang dikurniakan mengikut jalan syariat dan menjaga kenikmatan tersebut daripada sesuatu yang diharamkan.

Sebagai contoh nikmat tubuh dengan segala anggota-anggotanya, hanya digunakan dalam melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhkannya daripada segala yang dilarang oleh-Nya.  Ia merupakan definisi syukur yang wajib.

Adapun syukur yang sunat adalah dengan memperbanyakkan memuji Allah dengan lidah, seperti mengucapkan “al-Hamdulillah..” dan sebagainya.


Pernah Imam al-Sirri al-Saqti bertanya kepada Imam al-Junaid al-Baghdadi ketika umurnya tujuh tahun: “Wahai anakku, apa yang engkau ketahui tentang makna bersyukur kepada Allah?” Imam al-Junaid al-Baghdadi menjawab: “Bersyukur kepada Allah itu ialah tidak menggunakan segala nikmat yang telah Allah kurniakan dalam kemaksiatan kepada-Nya.”

6) AL-YAQIN - Yakin

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

AL-YAQIN

Iaitu keadaan di mana seseorang merasakan hilangnya perkara-perkara yang merintangi.

Imam Zunnun al-Misri berkata: “Keyakinan menjadikan seseorang memiliki angan-angan yang pendek. Angan-angan yang pendek menjadikan seseorang memiliki sifat zuhud. Zuhud menjadikan seseorang mewarisi hikmah. Dan hikmah menjadikan seseorang dapat melihat akibat-akibat daripada berbagai-bagai-bagai perkara atau pekerjaan.”

Imam al-Sirri al-Saqti berkata: “Keyakinan adalah keadaan di mana engkau merasa tenang sekalipun berbagai-bagai-bagai hentaman datang kepada hati, hingga engkau benar-benar merasa tenang bahawa pekerjaan apa pun yang engkau lakukan *tidak akan memberi manfaat kepadamu dan tidak akan mencegah sesuatu yang telah dikehendaki oleh Allah.”


*Mengikut pemahaman penulis ayat “tidak akan memberi manfaat kepadamu” bermaksud bukan untuk kepentingan diri sendiri. Allah Lebih Mengetahui.

7) AL-SHABR - Sabar

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

AL-SHABR

Iaitu menjaga dan mengekang nafsu terhadap sesuatu yang dibenci yang menimpanya atau terhadap sesuatu yang disukai yang terlepas atau meninggalkannya.

Imam al-Junaid ketika ditanya definisi sabar, berkata: “Menelan perkara yang pahit tanpa bermasam muka.”

Zunnun al-Misri berkata: “Sabar adalah menjauhkan diri daripada segala hal yang menyalahi syariat, tenang ketika ditimpa berbagai-bagai-bagai musibah, dan menampakkan jiwa yang kaya ketika dirundung kefakiran dan kesusahan hidup.”


Sayidina Ali ibn Abi Talib berkata: “Sabar dalam keimanan laksana kepala bagi tubuh.”

8) AL-UBUDIYAH - Taat

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

AL-UBUDIYAH

Iaitu melaksanakan segala ketaatan kepada Allah S.W.T. dengan benar-benar tunduk kepada-Nya. Pengertiannya ketaatan kepada Allah ialah melaksanakan segala perkara yang Dia perintahkan dan menjauhi segala perkara yang Dia larang.

Imam Ibn Ata’ berkata: “Al-Ubudiyah tercermin dalam 4 perkara:

i) Melaksanakan segala janji – kepada Allah

ii) Menjaga segala batasan-batasan (larangan-larangan ) – daripada Allah

iii) Redha dengan segala yang ada


iv) Sabar terhadap segala yang tidak ada

9) AL-IRADAH – Meninggalkan kebiasaan

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

AL-IRADAH

Iaitu meninggalkan segala kebiasaan yang umumnya dilakukan oleh manusia. Kebiasaan manusia umumnya ialah bersifat lalai, cenderung melakukan ajakan syahwat dan banyak berangan-angan dalam kesenangan duniawi. Seorang salik jika melepaskan diri daripada sifat-sifat yang merupakan kebiasaan umum ini maka hal ini menunjukkan kebenaran iradah yang ia miliki. Dan ini merupakan maqam paling besar bagi orang yang hendak menapaki jalan tasawuf (al-salikin).

Dalam menyinggung antara tanda-tanda kebenaran al-Iradah seorang salik, Syeikh Muhammad al-Kittani berkata: “ Ia membiasakan tiga keadaan:

i)  Ia tidur hanya kerana dikalahkan oleh rasa mengantuk.

ii) Ia makan hanya kerana dikalahkan oleh rasa lapar.


iii) Ia tidak berbicara kecuali dalam keadaan darurat.”

10) AL-ISTIQAMAH – Konsisten/Berterusan

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

AL-ISTIQAMAH

Iaitu sikap konsisten dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah dan menghidari ajakan-ajakan hawa nafsu.

Dalam al-Quran,  Allah S.W.T. berfirman:

Maksudnya: “Sesungguhnya mereka yang berkata: “Tuhan kami ialah Allah,” kemudian mereka istiqamah, maka turun atas mereka para malaikat (menyeru): “Janganlah kamu berasa takut dan janganlah kamu berasa sedih, bergembiralah kamu dengan syurga yang dijanjikan kepada kamu.” (Surah al-Fushilat: 30)

Dalam sebuah hadis, Rasulullah S.A.W. bersabda:

Maksudnya: Katakanlah: “Aku beriman kepada Allah, kemudian istiqamahlah.”


Imam Muhammad al-Wasiti berkata: “Ada satu sifat yang dengan memilikinya seluruh sifat-sifat baik menjadi sempurna, namun apabila sifat tersebut tidak ada maka semua sifat-sifat boleh menjadi buruk, iaitu istiqamah.”

11) AL-IKHLAS – Tujuan hanya kerana ALLAH

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

AL-IKHLAS

Iaitu mengkhususkan tujuan dalam melaksanakan segala ketaatan hanya kerana ALLAH sahaja. Ertinya seseorang yang melaksanakan berbagai-bagai-bagai bentuk ketaatan atau kebaikan tidak lain hanya bertujuan taqarrub kepada ALLAH, tanpa mencampurkan niat tersebut dengan niat-niat yang lain. Contoh mencampuradukkan niat, seperti ia berniat kerana ALLAH tetapi pada masa sama juga berharap sanjungan manusia, atau mengharap pujian mereka dan sebagainya.
ALLAH S.W.T. berfirman:

Maksudnya:Maka sesiapa yang berkehendak untuk bertemu dengan Tuhannya, hendaklah ia berbuat dengan perbuatan-perbuatan yang soleh dan tidak menyekutukan dalam beribadah kepada Tuhannya dengan sesiapa pun.” (Surah al-Kahfi; 110)

Rasullulah S.A.W. bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya ALLAH tidak menerima apa pun daripada perbuatan kecuali sesuatu yang ikhlas bagi-Nya yang diharapkan dengannya akan keredaan-Nya.” (Riwayat al-Nasa’i)

Imam Zunnun al-Misri berkata: “Antara tanda-tanda ikhlas ialah :

i) Tidak membezakan antara adanya pujian dan adanya cacian daripada orang awam

ii)Tidak melihat terhadap hasil daripada sesuatu yang diperbuatnya

12) AL-SIDQ – Mengucapkan kebenaran

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

AL-SIDQ

Iaitu mengucapkan kebenaran walaupun dalam keadaan yang sangat pahit. Sebahagian ulama menyatakan bahawa al-Sidq adalah keselarasan antara apa yang terlintas dalam batin dengan apa yang dikerjakan secara zahir.

ALLAH S.W.T. berfirman:


Maksudnya:Wahai sekalian orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada ALLAH dan jadikanlah kamu bersama-sama dengan kaum al-Sadiqin.” (Surah al-Tawbah; 119)

Saturday, July 20, 2013

13) AL-HAYA’ – ‘Menciutnya’ Hati

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

AL-HAYA’

Iaitu ‘menciutnya’ hati kerana merasakan keagungan ALLAH.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah S.A.W. bersabda:
Maksudnya:Al-Haya’ ialah tanda kesempurnaan iman.” (Riwayat al-Tirmizi)

Imam al-Fudail ibn Iyad berkata: “Ada 5 perkara yang merupakan tanda-tanda orang yang sengsara:

i) Hati yang keras kerana tidak mahu menerima nasihat

ii) Mata yang kering kerana tidak mahu menangis

iii) Malu yang sedikit

iv) Cinta terhadap dunia

v) Panjang angan-angan”

14) AL-ZIKR – Mengingati ALLAH

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

AL-ZIKR

Iaitu selalu mengingati ALLAH dalam setiap situasi dan keadaan.

ALLAH S.W.T. berfirman:

Maksudnya: Wahai sekalian orang beriman, ingatlah kamu kepada ALLAH dengan ingatan (zikir) yang banyak”. (Surah al-Ahzab: 41)

Imam al-Qusyairi berkata:

Zikir ialah tapak yang kuat dalam jalan menuju ALLAH , bahkan zikir ini merupakan sandaran yang paling utama dalam jalan ini. Seseorang tidak akan mencapai tujuan dalam perjalanannya menuju ALLAH kecuali dengan selalu melakukan zikir. Zikir terbahagi kepada dua bahagian; zikir dengan lidah dan zikir dengan hati. Zikir dengan lidah boleh menjadikan seseorang selalu menghadirkan zikir dalam hatinya. Zikir dengan lidah dapat memberikan pengaruh yang sangat kuat terhadap zikir di hati. Seseorang yang sudah dapat berzikir dengan lidah dan hatinya maka sekali gus ia termasuk dalam orang yang memiliki sifat sempurna dalam perjalanannya.”

Sebahagian ulama sufi menyatakan: “Carilah olehmu ‘rasa manis’ dalam 3 perkara:
         i)      Dalam solat
       ii)      Zikir
      iii)    Membaca al-Quran

Sebahagian mereka pula menyatakan bahawa apabila seseorang sudah memiliki hati yang kuat dalam zikirnya, maka zikir tersebut akan menjadikan syaitan yang mendekatinya “kerasukan”, seperti halnya seorang manusia kerasukan oleh bangsa syaitan itu sendiri. Apabila syaitan-syaitan lainnya berkumpul dan bertanya-tanya apa yang menimpa syaitan yang kerasukan tersebut, mereka mendapat jawapan bahawa hal itu disebabkan pengaruh kekuatan zikir si fulan.

15) AL-FAQR – Kefakiran

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

AL-FAQR

Iaitu kefakiran. Kefakiran tidak mutlak sesuatu yang tercela, bahkan dalam keadaan tertentu ia merupakan sesuatu yang terpuji dalam ajaran Islam. Seorang yang fakir yang dapat mempertahankan agamanya adalah jauh lebih baik daripada seorang yang kaya yang disibukkan oleh kekayaannya. Oleh sebab itu, kenyataan sebahagian orang bahawa “kefakiran sangat dekat dengan kekufuran” ialah satu kenyataan yang tidak mempunyai asas sama sekali dan bukan merupakan hadis. Justeru sebaliknya, kefakiran boleh menjadikan seseorang meningkatkan nilai takwanya. Dan sebab itu juga majoriti penduduk syurga ialah orang fakir.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah S.A.W. bersabda:

Maksunya: Aku diperlihatkan ke syurga dan aku melihat majoriti penduduknya ialah orang kafir.” (Riwayat al-Bukhari)
Imam Sahl ibn Abdullah al-Tushari berkata:
Ada 5 perkara yang merupakan permata jiwa:

         i)  Seorang fakir yang menampakkan kekayaan

       ii)  Seorang yang merasa lapar yang menampakkan rasa kenyang

      iii) Seorang yang sedih yang menampakkan keceriaan

     iv) Seorang yang memiliki permusuhan dengan orang lain namun menampakkan kecintaan  kepadanya

       v) Seorang yang bangun solat malam dan puasa pada siang hari namun tidak menampakkan keletihannya.”

Imam Ibrahim ibn Adham berkata: “Kita mencari kefakiran namun kita didatangi kekayaan, dan banyak orang yang mencari kekayaan namun mereka didatangi kefakiran.

Imam Zunnun al-Misri berkata: “Antara tanda-tanda ALLAH murka ke atas seorang manusia adalah apabila orang tersebut memiliki rasa takut terhadap kefakiran.”

16) AL-SYAUQ – Rindu/Getaran Hati

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

AL-SYAUQ

Iaitu perasaan rindu. Imam al-Qusyairi menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan al-Shauq di sini ialah getaran hati kerana rasa rindu terhadap yang dicintai. Besarnya kadar al-Shauq ini bergantung pada seberapa besar rasa al-mahabbah (cinta), kerana al-Shauq ialah buah daripada al-marhabbah (cinta).

Kenyataan yang sama juga diungkapkan oleh Imam Ahmad ibn Ata’ ketika ditanya tingkatan yang mana lebih tinggi  antara al-Shauq dengan al-marhabbah, ia menyebutkan bahawa al-marhabbah lebih tinggi daripada al-Shauq, kerana al-Shauq timbul daripada seberapa besar adanya al-marhabbah.”

17) AL-MUJAHADAH – Melawan hawa nafsu

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

AL-MUJAHADAH

Ialah melawan hawa nafsu agar istiqamah (berterusan) dalam melaksanakan ketaatan kepada ALLAH.
Imam Hasan al-Qazzaz berkata: “Urusan tasawuf ini dibangunkan di atas tiga perkara:

         i) Meninggalkan makan kecuali lapar.

       ii) Meninggalkan tidur kecuali kerana dikalahkan oleh rasa mengantuk.

       iii) Meninggalkan berkata-kata kecuali kerana darurat (dimestikan berkata-kata)”.

Imam Ibrahim ibn Adham berkata:

Seseorang tidak akan mendapatkan darjat orang soleh hingga dia melintasi 6 rintangan:

         i)            Menutup pintu kenikmatan dan membuka pintu kesusahan.

       ii)           Menutup pintu kemuliaan dan membuka pintu kehinaan.

      iii)            Menutup pintu istirahat dan membuka pintu kesungguhan

     iv)            Menutup pintu tidur dan membuka pintu berjaga

       v)            Menutup pintu kekayaan dan membuka pintu kefakiran

     vi)            Menutup pintu berangan-angan dan membuka pintu persiapan untuk akhirat.”

18) AL-KHALWAH & AL-UZLAH – Memutuskan & Mengasingkan Diri / Sifat Tercela

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

 AL-KHALWAH & AL-UZLAH

Iaitu memutuskan diri daripada makhluk dan mengasingkan diri daripada mereka.
Antara ketentuan sebelum masuk al-khalwah dan al-uzlah ini seseorang itu hendaklah terlebih dahulu telah memantapkan ilmu asas agama yang dapat meluruskan tauhidnya dan membenarkan keyakinannya, hingga ia tidak ditipu oleh syaitan. Juga agar ia dapat melaksanakan kewajipan-kewajipan tuntunan syariat.

Al-Uzlah memiliki 2 pengertian:

         i)            Pengertian fizikal
       ii)      Pengertian bukan fizikal

Sebahagian ulama ada yang mengertikan al-uzlah bukan dalam bentuk fizikal, menurut mereka yang dimaksudkan al-uzlah ialah mengasingkan diri daripada sifat-sifat tercela.

Imam Abu Bakr al-Warraq ketika memberikan wasiat kepada salah seorang muridnya berkata: “ Aku mendapati kebaikan dunia dan kebaikan akhirat dengan cara mengasingkan diri dan menyendiri (al-khalwah wa al-qillah), dan aku mendapati keburukan pada kedua-duanya (dunia dan akhirat) adalah disebabkan pergaulan dengan banyak orang dan bercampur baur dengan mereka (al-kathrah wa al-iktilath).”

Imam al-Junaid al-Baghdadi berkata:

Melawan diri dengan usaha melakukan al-uzlah jauh lebih mudah daripada melawan diri untuk selalu melakukan baik dalam bergaul dengan banyak orang.

Hal ini kerana setiap orang memiliki akhlak yang berbeza-beza, hingga kita terpaksa memilih antara apa sahaja yang boleh menyakitkan hati mereka dan apa sahaja yang boleh menyukakan hati mereka, juga kemestian menampakkan kepada mereka rasa kasih sayang, lemah lembut, saling menghormati dan berbagai-bagai-bagai sifat yang lain.

Dalam kesempatan lain Imam al-Junaid berkata:

Sesiapa yang menghendaki keselamatan bagi agamanya dan tenang bagi badannya maka hendaklah ia mengasingkan diri daripada manusia. Kerana zaman ini ialah zaman yang buas. Dan seorang yang berakal ialah seorang yang memilih untuk menyendiri, kecuali apabila dalam pergaulan itu terdapat kebaikan secara syariat. “

19) AL-WARA’ – Meninggalkan hal syubhat

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

AL-WARA’

Iaitu meninggalkan segala hal yang syubhat. Sikap al-wara’ ini dapat tercermin dalam berbagai-bagai-bagai keadaan; dalam perbuatan, perkataan, niat di hati, hingga dalam masalah makanan, cara berpakaian, dan lain-lain lagi.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah S.A.W. berkata kepada Abu Hurairah R.A.

Maksudnya: “Jadilah engkau seorang yang warak, maka engkau akan menjadi seorang ahli ibadah antara manusia.” (Riwayat Ibn Majah dan al-Tabrani)

Tentang pentingnya sikap al-wara’, Sayidina Abu Bakr al-Siddiq berkata: “Kami meninggalkan 70 pintu yang halal kerana kami khuatir terjatuh dalam satu pintu yang haram.

Imam Ibrahim ibn Adham berkata: “Al-Wara’ ertinya meninggalkan segala perkara yang syubhat dan pada meninggalkan segala sesuatu yang tidak beerti (tidak berfaedah).”

Sahl al-Tustari berkata: “Seorang yang tidak memiliki sifat al-wara’ walaupun ia makan makanan sebesar kepala gajah maka ia tidak akan merasa kenyang.”

Diriwayatkan tentang sikap al-wara’, Imam Sufyan al-Tauri pada suatu ketika ia kembali dari Moro (wilayah Turkistan pada masa itu, sekarang Rusia) menuju ke wilayah Syam (wilayah Syria, Lebanon, Jordon dan Palestin sekarang) hanya untuk mengembalikan sebuah pulpen yang telah ia pinjam kepada pemiliknya.”

20) AL-SHAMT – Banyakkan diam

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

AL-SHAMT

Iaitu memperbanyakkan diam daripada bicara. Manahan lidah daripada berkata-kata yang tidak berguna sangat membantu dalam menuai keselamatan, baik keselamatan di dunia mahupun akhirat.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah S.A.W. bersabda:

Maksudnya:Sesiapa yang (mahu) beriman kepada ALLAH dengan hari akhirat, dengan keimanan yang sempurna, maka hendaklah ia berkata-kata yang baik atau diam.” (Riwayat al-Bukhari)
Sebahagian ahli tasawuf ketika ditanya tentang apa yang paling menjaga seseorang daripada berbagai-bagai-bagai perkara berbahaya menyatakan bahawa hal tersebut ialah lidahnya sendiri. Seorang manusia yang berakal akan selalu menghitung natijah atau akibat daripada setiap kata-kata yang akan diucapkan. Kecuali dalam keadaan yang dianjurkan atau bahkan diwajibkan oleh syariat, maka berkata-kata dalam keadaan ini adalah suatu keharusan.

Imam al-Qusyairi berkata:

Diam adalah keselamatan. Ini berdasarkan pokoknya. Namun diam juga boleh menyebabkan penyesalan jika tidak ada perintah untuk itu. Maka yang me njadi kayu ukur dalam berkata-kata baik dalam memerintah mahupun dalam melarang adalah ketentuan syariat. Benar, berdiam dalam suatu keadaan adalah antara sifat-sifat kaum sufi, namun dalam keadaan tertentu di mana tuntutan berkata-kata merupakan suatu kemestian maka berkata-kata  lebih mulia dan lebih utama daripada berdiam diri.”

Oleh sebab itu, Imam Abu Ali al-Daqqaq berkata: “Seorang yang berdiam diri tidak mahu mengucapkan kebenaran maka ia laksana syaitan yang bisu.”

21) AL-KHAUF - Takut

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

 AL-KHAUF - Takut

Iaitu merasa takut terhadap ancaman ALLAH dan seksa-Nya. Baik seksa di dunia mahupun seksa di akhirat. Sebahagian kaum sufi berkata bahawa rasa takut ialah lentera (penerang) bagi hati kerana dengannya seseorang dapat melihat dan mempertimbangkan antara yang baik dengan yang buruk.


Imam Abdullah ibn al-Mubarak berkata: “Sesungguhnya keadaan yang boleh mendatangkan rasa takut  adalah dengan  selalu menghadirkan rasa bahawa ALLAH selalu memperhatikan hamba-Nya dalam setiap keadaan, baik pada ketika sendirian mahupun pada masa bersama dengan orang lain.”

22) AL-JU’WA TARK AL-SYAHWAH – Lapar & Tinggalkan Syahwat

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

 AL-JU’WA TARK AL-SYAHWAH

Iaitu lapar dan meninggalkan syahwat. Antara sifat-sifat kaum sufi ialah membiasakan diri untuk lapar. Bahkan hal ini termasuk rukun antara rukun-rukun mujahadah. Banyak sumber-sumber hikmah yang tidak dapat diraih kecuali dengan jalan mengosongkan perut. Antara faedah besarnya ialah menggerakkan seseorang untuk selalu bertakafur dan giat melakukan ketaatan.

Rasulullah S.A.W. bersabda:

Maksudnya: “Cukup bagi seorang manusia beberapa suap makanan sahaja iaitu seukuran yang dapat meluruskan tulang rusuknya.” (Riwayat al-Tirmizi)

Imam Sahl al-Tustari berkata: “Ketika ALLAH menciptakan dunia ini, Dia menjadikan rasa kenyang itu kemaksiatan dan kebodohan, dan menjadikan pada rasa lapar itu ilmu dan himah.”


Diriwayatkan bahawa Imam Sahl al-Tustari ini hanya makan ala kadarnya setiap 15 hari sekali. Dan apabila datang bulan Ramadan ia tidak makan suatu apa pun, kecuali setiap malamnya berbuka dengan hanya beberapa teguk air sahaja.”

Inteam - Jatuh Bangun (Lyrics Video)

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Jom hayati lagu ni.. Sungguh nyahdu. Subhanallah. Tenang dengar. ^_^


Lirik Lagu: Jatuh Bangun
Sumber:  LirikNasyid.com

Duhai... Tuhanku
Jatuh bangun ku menghambaMu
Kadang cinta, kadang ku melupa...
Tega ku menyiksa hidup sendiri...

Duhai... Tuhanku
Untuk yang kesekian kali
Ku bersujud meminta kembali
Hati yang dipijar indah cinta Mu...

Tuhan...
Aku tanpa Mu, hidup ku menderita..
Sunyi hati, kelam jiwa bagai terpenjara

Tuhan...
Biar kan kini, aku dalam rahmatMu
Meski jatuh dan terbangun...
Ku tetap bertahan...

Komposer & Penulis Lirik: Aden Edcoustic 

Friday, July 19, 2013

Tahun 2013M/Ramadhan 1434H

Aku berlindung dengan nama ALLAH dari syaitan yang direjam.
Dengan Nama ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG.

Alhamdulilah.. akhirnya dapat juga saya membuka akaun blog ini dengan kata kunci yang betul. Sudah 2 tahun blog ini sepi rupanya. Betapa masa itu sangat singkat. Betapa meyakinkan kita bahawa  kehidupan di dunia ini hanyalah sementara.

Pantasnya berlalu dari kali terakhir entri blog pada Ramadhan 1432H (2011) namun sekarang sudah masuk 10 Ramadhan 1434H, saya mendapat banyak hikmahnya belajar short sem di UKM ketika ini. Ni semester terakhir. Dengan izin ALLAH, saya akan mendapat segulung ijazah Sarjana Muda pada bulan Oktober ini. 

Saya tak berhajat ingin menyebarkan cerita hikmah yang Allah berikan kepada saya sepanjang Ramadhan ni. Cukuplah saya redha dan tenang menerimanya. Kerana bukan hikmah itu yang saya peroleh, sebab hari-hari pun ALLAH memberikan nikmat-Nya kepada saya dan kita semua. Maka patutkah kita menyatakan segala-segalanya? Terutama kepada umum? Hati yang lemah iman ini kadang-kadang boleh terjerumus ke lembah riak dan berbangga-bangga. Cukup lah kita mengucapkan Segala Pujian hanya untuk ALLAH. Cukuplah hanya kita dan ALLAH yang tahu.

Yang paling penting ALLAH telah mengajar saya. Berpeganglah pada tali pengharapan/ meletakkan segala-galanya kepada ALLAH kerana ia membuatkan kita sentiasa tenang sama ada dalam kesusahan maupun kesenangan. Dalam kegelisahan maupun dalam kegembiraan. Dalam ilmu tasawuf, segala apa yang kita dapati/rasai itu sama sisinya kerana semuanya adalah dari ALLAH juga. Kegembiraan itu nikmat. Kesedihan itu juga nikmat. Kerana daripada ALLAH ia datang, maka kita perlulah pulangkan rasa REDHA kepada ALLAH semula. Hal ini, kita cuma perlu memandang pada perspektif luar dari biasa. Itulah kunci ketenangan.

Saya sedar saya bukanlah hamba yang sempurna imannya, namun di kesempatan masih hidup berbekalkan segala nikmat yang ALLAH berikan.. saya terpanggil untuk memenuhi masa yang singkat ini dengan berkongsi sekadar ilmu dan pengetahuan termampu. Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada iman kita semua. Segala ilmu yang dipaparkan boleh dikongsi bersama. Saya yakin juga penulis asal kepada sesetengah buku bacaan menghalalkan penulisan kembali saya ini untuk manfaat umat Islam seluruhnya. Namun atas rasa hormat kepada penulis asal dan kekangan masa yang melanda kita kini, hanya sesetengah ilmu yang pada pemikiran saya penting dan sesuai untuk pemahaman umum sahaja yang akan dapat dikongsikan bersama.

Semoga kita dirahmati ALLAH dan dibuka jalan dan petunjuk di atas segala pembacaan dan pemahaman pada penulisan blog ini. Ameen.

Selamat membaca dan beramal. ^_^