Perkongsian Ilmu Termampu

Showing posts with label Coretan Umum. Show all posts
Showing posts with label Coretan Umum. Show all posts

Friday, July 19, 2013

Tahun 2013M/Ramadhan 1434H

Aku berlindung dengan nama ALLAH dari syaitan yang direjam.
Dengan Nama ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG.

Alhamdulilah.. akhirnya dapat juga saya membuka akaun blog ini dengan kata kunci yang betul. Sudah 2 tahun blog ini sepi rupanya. Betapa masa itu sangat singkat. Betapa meyakinkan kita bahawa  kehidupan di dunia ini hanyalah sementara.

Pantasnya berlalu dari kali terakhir entri blog pada Ramadhan 1432H (2011) namun sekarang sudah masuk 10 Ramadhan 1434H, saya mendapat banyak hikmahnya belajar short sem di UKM ketika ini. Ni semester terakhir. Dengan izin ALLAH, saya akan mendapat segulung ijazah Sarjana Muda pada bulan Oktober ini. 

Saya tak berhajat ingin menyebarkan cerita hikmah yang Allah berikan kepada saya sepanjang Ramadhan ni. Cukuplah saya redha dan tenang menerimanya. Kerana bukan hikmah itu yang saya peroleh, sebab hari-hari pun ALLAH memberikan nikmat-Nya kepada saya dan kita semua. Maka patutkah kita menyatakan segala-segalanya? Terutama kepada umum? Hati yang lemah iman ini kadang-kadang boleh terjerumus ke lembah riak dan berbangga-bangga. Cukup lah kita mengucapkan Segala Pujian hanya untuk ALLAH. Cukuplah hanya kita dan ALLAH yang tahu.

Yang paling penting ALLAH telah mengajar saya. Berpeganglah pada tali pengharapan/ meletakkan segala-galanya kepada ALLAH kerana ia membuatkan kita sentiasa tenang sama ada dalam kesusahan maupun kesenangan. Dalam kegelisahan maupun dalam kegembiraan. Dalam ilmu tasawuf, segala apa yang kita dapati/rasai itu sama sisinya kerana semuanya adalah dari ALLAH juga. Kegembiraan itu nikmat. Kesedihan itu juga nikmat. Kerana daripada ALLAH ia datang, maka kita perlulah pulangkan rasa REDHA kepada ALLAH semula. Hal ini, kita cuma perlu memandang pada perspektif luar dari biasa. Itulah kunci ketenangan.

Saya sedar saya bukanlah hamba yang sempurna imannya, namun di kesempatan masih hidup berbekalkan segala nikmat yang ALLAH berikan.. saya terpanggil untuk memenuhi masa yang singkat ini dengan berkongsi sekadar ilmu dan pengetahuan termampu. Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada iman kita semua. Segala ilmu yang dipaparkan boleh dikongsi bersama. Saya yakin juga penulis asal kepada sesetengah buku bacaan menghalalkan penulisan kembali saya ini untuk manfaat umat Islam seluruhnya. Namun atas rasa hormat kepada penulis asal dan kekangan masa yang melanda kita kini, hanya sesetengah ilmu yang pada pemikiran saya penting dan sesuai untuk pemahaman umum sahaja yang akan dapat dikongsikan bersama.

Semoga kita dirahmati ALLAH dan dibuka jalan dan petunjuk di atas segala pembacaan dan pemahaman pada penulisan blog ini. Ameen.

Selamat membaca dan beramal. ^_^

Thursday, August 4, 2011

Pembuka Bicara: Cinta ALLAH, Cinta Sejati

Sumber: Google

Hakikatnya sejak zaman roh lagi, kita telah pun berjanji bahawa hanya Allah sahajalah cinta kita. Akan tetapi kita menjadi 'lupa' tatkala dilahirkan di dunia apatah lagi dengan cara didikan yang jauh dari ajaran Allah ditambah pula dengan dugaan yang mendatang. Maka, marilah kita bermunasabah diri. 'Ingatkan' semula apa janji kita kepada Allah, dengan memahami akan tujuan kita dilahirkan di dunia ini iaitu memperhambakan diri kita kepada Pencipta - Allah S.W.T. kerana apabila saat kita meninggalkan dunia dan kembali kepada Nya.. apakah yang dapat kita bawa? apakah cinta yang dapat kita bawa? melainkan cinta Allah. Manusia yang selamat adalah manusia yang cintakan Allah kerana dia tahu itu adalah destinasinya - destinasi cinta yang sebenar,cinta yang sejati. Manakala malang bagi manusia yang mencari cinta selain Allah kerana akhirnya dia tetap akan bertemu dengan Allah tetapi membawa 'tangan kosong' pula... 

Marilah kita renungkan.. sesungguhnya apa sahaja perkara yang bertentangan dengan ajaran agama Allah, pada akhirnya hanyalah menjadi suatu yang sia-sia.. (seperti cintakan dunia, cintakan manusia, cintakan harta). Maka, janganlah mensia-siakan ia kerana hidup ini hanya sementara. Yang kekal adalah di sana (akhirat). Yang kekal, hanyalah cinta kepada Allah.

Thursday, January 13, 2011

Kehidupan di awal pagi

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Assalammualaikum & selamat pagi, ;)

Tiba-tiba pagi ini saya terpanggil untuk membuka blog dan inilah kali pertama. Itupun atas sedikit bantuan dari roomate yang sudah ada sedikit sebanyak pengetahuan dan pengalaman membuat blog. Rasa segan pula.

Sepertimana niat dalam hati, sebaik sahaja solat Subuh saya ingin terus bangun. Bangun melihat kebangkitan pagi. Bangun mendengar kicauan burung-burung atau kokokan ayam. Bangun untuk melihat terpancarnya cahaya dan merasai bahang matahari, ciptaan Tuhan untuk kehidupan manusia. Bangun untuk melakukan sedikit pekerjaan atau menelaah ilmu yang belum habis difahami. Bangun untuk merasai kehidupan yang Tuhan beri setelah baru sahaja di alam 'kematian' separuh sedar (tidur). Betapa syukurnya.. Alhamdullilah.

Bangun untuk menunggu sementara masuk waktu solat sunat Dhuha dan Ishraq, iaitu sebenarnya bangun untuk memohon kepada Tuhan supaya Dia memberikan kehidupan pada hari ini penuh dengan kebaikan, dijauhkan dari keburukan serta supaya hati insan yang dosa ini diterangi dengan cahaya hidayah-Nya yang Maha Luas. Itulah doa selepas selesai solat sunat Ishraq.

Kehidupan pagi hari dimulakan dengan penyembahan, hajat dan doa  kepada empunya kehidupan sementara ini. Disusuli dengan membaca ayat-ayatNya yang terang lagi nyata. Yang jika difahami dan diamalkan menjadi pengubat kepada segala permasalahan dalam kehidupan. Yang kemudian melalui kehidupan dengan aman berpuncakan atas rasa rahmat dan kasih sayangNya, saya cuba membalas dengan menyebut nama-namaNya (zikir) sepanjang hari.

Dengan pengharapan yang penuh, semoga Tuhan sentiasa melindungi diri ini dari keburukan dan dimurahkan rezeki yang bukan sahaja hanya untuk sesuap nasi tetapi untuk mendapatkan ilmu yang berguna di dunia dan akhirat.

Semoga Tuhan memberi kekuatan pada diri ini untuk merasai kehidupan selepas solat Subuh sepanjang hayat tanpa merasa beban yang berat. Kerana saya tahu ia mengandungi banyak hikmah yang tidak terjangka. Bantulah aku Ya Allah. KepadaNya aku berharap.. Perkenankanlah.. Amin.