Sunday, August 14, 2011

Indahnya Ketidaksempurnaan


Kesegaran air yang belum tercemar di kampung ketika kecil dulu tidak dapat lagi dinikmati. Perigi di bawah bukit menjadi sumber air yang sangat berjasa. Kini bekas tempat peigi  itu hanya rata dan dipenuhi pasir.

Entah ke mana air yang keluar dari mata air yang pernah memberi kesegaran kepada keluarga kami sekitar 40 tahun yang lalu. Berbanding sekarang memang terbayang sukarnya mengangkut air perigi itu dari kaki bukit dan dibawa ke rumah untuk digunakan seharian.

Alat yang keluarga kami miliki ketika itu hanyalah pengandar. Sekali perjalanan hanya dua baldi yang dapat diangkut ke rumah, setiap satunya digantung pada hujung pengandar tersebut. Itupun sebahagian airnya ada yang tumpah di sepanjang jalan. Pengandar pun kini pupus ditelan zaman teknologi yang semakin berkembang... bukan pengandar air sahaja yang pupus , nasi kandar zaman kini pun tidak lagi dikandar tetapi dihidang di atas meja.

Bercakap mengenai pengandar atau kandar, suatu kisah yang sangat menyentuh singgah di minda dan perasaan saya. Kisah seorang wanita tua dan pengandarnya. Tidak logik pada akal tetapi sangat menyegarkan hati.

Perempuan Tua, Pengadar Air dan Bunga
Suatu masa di negeri Cina, ada seorang perempuan tua yang miskin setiap hari berulang alik mengangkut air dengan pengandarnya. Dek kerana miskin, satu belas pada pengandarnya telah bocor dan satu lagi sempurna dan dalam keadaan baik.

Setiap kali mengangkut air, perempuan tua ini menerima hakikat bahawa belas yang bocor itu hanya tinggal separuh airnya apa bila sampai ke rumah dan yang satu lagi penuh.

Selama bertahun-tahun inilah yang dilalui oleh perempuan tua yang tabah ini. Bekas sempurna dan berjaya membawa air penuh bangga dengan dirinya yang mampu berkhidmat kepada tuannya sedangkan bekas bocor sentiasa merasa rendah diri atas kekurangannya. Pasti khidmat pada tuannya tidak sesempurna bekas yang sempurna. Kedua-duanya berada di hujung pengandar pada kedudukan yang berlawanan.

Selepas beberapa tahun dalam keadaan demikian, suatu hari di tepi sungai ketika rutin biasa mengambil air, si bekas rosak meluahkan perasaannya kepada perempuan tua tersebut dalam keadaan yang sangat sedih.

"Aku malu dengan diri sendiri. Aku ni bocor...tidak sempurna seperti bekasmu yang lagi satu. Bila sampai ke rumah, aku ttidak pernah berjaya membawa air sebanyak dia."

Perempuan tua berhati tabah dan mulia itu tersenyum lembut sambil berkata :
"Aku sudah lama tahu tentang keadaanmu yang bocor kalau itu yang engkau anggap sebagai tidak sempurna. Tapi kekurangan tidak bermakna engkau tidak berguna. Sebab itu aku menabur benih bunga di sepanjang pinggir jalan yang kita lalui setiap hari. Setiap hari engkaulah yang menyiram benih-benih bunga sehingga ia tumbuh dan menghiasi jalan itu".

"Aku memetik bunganya, dibawa balik dan menghiasi rumah sehingga suasana rumah begitu tenang dan indah. Suasana ini memberi kelapangan fikiran dan perasaan sehingga aku bertenaga untuk melalui setiap hari yang berlalu. Bunga itu memberi inspirasi yang tidak ternilai..."

"Tanpa engkau aku tidak dapat menikmati kesegaran bunga-bunga itu. Keindahan dan kesegaran ini semua tidak ada tanpa engaku."

"Kekuranganmu sesungguhnya membuahkan keindahan yang hanya dapat dihargai dan dilihat dengan mata hati yang cerah...jadilah dirimu yang seadanya. Apa yang engkau anggap ketidaksempurnaan dalam dirimu, itulah sumber keindahan yang berjaya menyejukkan hatiku seperti air yang segar memnghilangkan dahaga di tekak yang kering."

Hati itu dan hari-hari seterusnya merupakan hari-hari indah bagi si bekas yang tidak sempurna. Titis-titis air yang keluar daripada rekahan bocornya dibiarkan dengan rela jatuh satu-satu kerana dia tahu akan ada kehidupan lain yang tumbuh daripada apa yang 'terbuang' sepanjang perjalanan dari sungai ke rumah tuannya, si perempuan tua yang berhati mulia dan sentiasa bersyukur.

Bekas Bocor Yang Kita Miliki
Agaknya berapa ramai antara orang-orang terdekat seperti 'bekas bocor' dalam kehidupan kita. Orang-orang yang berhak menerima kasih sayang, perlindungan dan penghargaan tetapi mereka tidak mendapatkannya kerana mereka hanya 'bekas bocor' yang tidak mampu membawa 'air yang cukup' untuk kita. Mungkinkah pernah disingkirkan orang-orang tertentu hanya kerana mereka 'bekas bocor'.

Pernahkah kita dengan suci hati membantu mencari peluang dengan 'menabur benih-benih' supaya ketidaksempurnaan menjadi rahmat untuk seluruh alam? Atau 'bekas-bekas bocor' terus dibuang daripada kehidupan atau dianggap sebagai beban dan yang sering mereka terima hanyalah kata-kata sindiran dan penghinaan.

Alangkah indah jika memiliki seperti hati perempuan tua miskin pemilik 'bekas bocor' yang melengkapkan pengandarnya.

Alangkah indah, damai dan sejukanya memiliki ikatan kekeluargaan, ikatan persahabatan, ikatan kemasyarakatan, ikatan sebagai rakan kerja, ikatan antara majikan dan pekerja, antara peminpin dan rakyat seperti perempuan tua dan 'bekas bocor' pada pengandarnya.

Inspirasi Daripada An Naafi Maha Memberi Manfaat
Kesempurnaan hanya milik Allah. Dengan kesempurnaanNya, Dia menjadikan ketidaksempurnaan makhluk sebagai suatu rahmat. Maha Suci Allah yang An Naafi' (Maha Memberi Rahmat) daripada menciptakan suatu yang sia-sia.

Maksud surah Al-Mukminun, ayat 115 :
"Adakah kamu menyangka bahawa Kami menciptakan kamu sia-sia dan bahawasanya kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?

Andai rasa diri sempurna, manusia mungkin sahaja merosakkan dirinya dengan sikap sombong, bongkak dan ego sehingga memandang rendah terhadap manusia lain. Ketika menyedari diri lemah, kurang dan tidak sempurna.. baru tercetus keinginan untuk bergantung dan menumpang kesempurnaan daripada Allah yang Maha Sempurna sehingga kekurangan pada diri mampu membuahkan rahmat untuk seluruh alam.

Maksud surah Al-Isra, ayat 37:
"Dan janganlah engkau berjalan di muka bumi ini dengan bongkak. Sebab engkau tidak akan mampu menembus bumi, dan tidak pula dapat menjulang setinggi gunung."

Semoga ketidaksempurnaan sebagai makhluk tidak menghalang daripada bersyukur dan tidak juga menjadi penghalang untuk menjalankan peranan sebagai manusia yang membawa rahmat untuk seluruh alam seperti yang ternukil dalam surah An Anbiya, ayat 107 :
"Dan tiadalah kami mengutus engkau (Wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam."

'Kembali' Selepas 56 Tahun



Saya nak kongsi salah satu bahagian odessey ;

Dua bayi perempuan dilahirkan pada musim bunga tahun 1953 di Heppner,Orgeon, Amerika Syarikat. Kedua-duanya membesar,berkahwin,membina keluarga seperti orang lain. Namun keduanya dikejutkan 56 tahun kemudian dengan berita yang tidak pernah diduga. Mereka rupanya telah tertukar semasa bayi ketika di hospital tempat mereka dilahirkan selepas penjaga bayi memandikan mereka.

Memang luar biasa penemuan ini. Mungkin satu dalam sejuta, namun tiada yang luar biasa apabila Allah mengkehendaki. Dia yang mentakdirkan pertukaran tersebut dan Dia juga yang membongkar kembali rahsia yang tersimpan selama 56 tahun, malah ibu bapa kedua-dua bayi tersebut juga tidak pernah tahu kerana mereka meninggal dunia sebelum hal sebenar terdedah.

Kay Rene dari daerah Condon dibesarkan dalam keluarga Reed dan kemudian berkahwin lalu menggunakan nama Kay Rene Reed Quall. Dee Ann yang tinggal di Fossil pula dibesarkan dalam keluarga Angell, apabila berkahwin menggunakan nama Dee Ann Angell Schafer.

Panggilan Telefon
Tahun 2009, Bobby Reed, abang kepada Kay Rene menerima panggilan telefon daripada seorang wanita tua berusia 86 tahun. Wanita ini kenal ibu Bobby dan tinggal berjiran dengan keluarga Angell di daerah Fossil. Menurut wanita ini, Marjorie Angell pernah meluahkan bahawa hatinya kuat merasakan bahawa bayinya telah tertukar semasa di hospital. Bagaimanapun, lama kelamaan Marjorie akhirnya melupakan sahaja rasa hatinya itu.

Bobby dengan rasa ingin tahu berjumpa dengan wanita yang menelefonnya. Wanita itu membawa gambar kanak-kanak perempuan yang berusia awal belasan tahun.
"Rupa budak ini macamKay Rene semasa kecil..." komen Bobby.
"Sebenarnya Kay Reen bukan anak keluarga Reed." Wanita itu membuka cerita.

Gambar kanak-kanak tadi adalah gambar adik kepada Dee Ann Angell. Bobby memberitahu dua orang kakaknya mengenai cerita ini dan salah seorang kakaknya memberitahu Kay Rene, yang pastinya sangat terperanjat dengan khabar tersebut.

Menjalani Ujian DNA
Kedua-dua keluarga yang ibu bapa masing-masing telah meninggal dunia bertukar-tukar maklumat. Dee Ann yang menetap di Washington diberitahu mengenai isu tersebut oleh kakaknya, Juanita.

Mereka menyiasat khabar angin yang mengatakan Kay Rene dan Dee Ann tertukar semasa bayi dan Kay Rene bertegas ingin menjalanii ujian DNA ke atas Kay Rene, Dee Ann, Bobby dan Dorothy.

Bobby dan Dorothy adalah adik beradik Kay Rene dalam keluarga Reed.
Keputusan DNA Kay Rene menunjukkan perkaitan genetik 'sifar' dengan Bobby dan Dorothy, adik beradiknya dalam keluarga Reed. Manakala keputusan j ujian DNA Dee Ann menunjukkan 99.9 peratus perkaitan genetik dengan Bobby dan Dorothy. Kay Rene dan Dee Ann bertemu selepas menerima keputusan ujian DNA.

"Selepas berjumpa Kay rene, saya terus balik ke rumah dan memberitahu suami. Saya kata, mula-mula saya tak tahu kenapa perempuan itu beria-ia nak menjalani ujian DNA."
ee Ann mengingat kembali saat-saat keputusan DNA didapati.
"Saya rasa terkejut apabila melihat wajah Kay Rene seperti kembar kepada adik perempuan saya..."

Belajar Menerima Hakikat
"Saya menangis. Saya mahu terus menjadi keluarga Reed.."  Ini luahan rasa Kay Rene.
"Hidup saya sangat gembira dan bahagia dalam keluarga ini. Semua kengan indah dengan kelurga ini sepatutnya milik Dee Ann. Apabila saya melihat dia, saya merasa seolah-olah telah melakukan satu penipuan.."  sambung Kay Rene lagi.

"Saya sedang cuba untuk menjalani masa depan dengan fikiran positif. Saya sayngkan anak-anak. Saya cintaka n suami saya. Dan saya bahagia dengan kehidupan yang saya miliki sekarang."

Ini pula luahan perasaan Dee Ann selepas mengetaui rahsia yang terbongkar selepas 56 tahun.
"Saya tidak boleh menoleh ke belakang. Ini boleh membuat saya jadi gila! sedih apabila mengenangkan yang saya tidak pernah berkesmpatan mengenali ibu bapa kandung ynag sebenar."  Dee Ann Angell Schafer berkongsi perasaanya dengan penonton siaran televisyen Good Morning America.

Kay Rene dan Dee Ann menjadi sahabat dan meriakan hari lahir bersama-sama. Kay Rene memperkenalkan Dee Ann kepada rakan-rakan dan teman kerja sebagai "My Swister", merujuk kepada perkataan 'tertukar' (switch) dan 'adik beradik perempuan' (sister) dalam bahasa inggeris.

Inilah salah satu peristiwa antara jutaan peristiwa yang ditakdirkan oleh Yang Maha Pencipta dan Perancang.

Luar biasa atau tidak.. segalanya atas perancangan dan pelaksaan Allah. Semuanya menyerlahkan sifat Maha Sempurna dan Maha Agung-Nya.

Sifat Keagungan Allah Tersirat Di Sebalik Peristiwa

Allah Al Muid (Maha Mengembalikan) mengembalikan mereka kepada keluarga sebenar. Sifat Allah Al-Muid yang ternulik dalam Asmaulhusna bukan sahaja menjelaskn sifat Allah Yang mempunyai kuasa mutlak mengembalikan kejadian makhluk kepada kejadian asal, menghidupkan kembali selepas kematian, malah teraspirasi juga dalam peristiwa Kay Rene dan Dee Ann. Kembalinya mereka ke pangkuan keluarga kandung pada logic akal memang agak mustahil.


Namun Allah mengekalkan maklumat pada seorang wanita tua yang dipanjangkan umur untuk membongkar rahsia yang tersimpan selama 56 tahun. Allah jugalah yang membisikkan kepada wanita tua tersebut supaya prihatin dan berusaha mencari mereka yang terlibat seterusnya membawa kepada perbualan dengan Bobby Reed melalui telefon.


Bukan sahaja Allah ‘simpan’ maklumat dalam ingatan wanita tua itu, tetapi menyimpan ‘maklumat’ dalam setiap sel manusia maklumat genetic dalam bentuk DNA yang diturunkan dari sulbi ke sulbi mereka yang mempunyai kaitan kekeluargaan dan darah. Ujian DNA dapat ‘menceritakan’ sejarah yang terkubur 56 tahun walaupun kedua ibu bapa Kay Rene dan Dee Ann telah lama bersemadi. Maha Agung Allah yang Al Musawwir (Maha Pembentuk) yang menciptakan manusia daripada sel-sel sebagai penyimpan maklumat turun menurun. Siapakah selain  Allah yang mampu menciptakan molekul-molekul kimia DNA yang ‘hidup’ yang seolah-olah menjadi ‘buku’ atau ‘perpustakaan’ maklumat diri manusia turun menurun.


Maha Agung Allah yang Maha Jaami’ (Maha Menghinpunkan) yang menghimpunkan dua keluarga atas suatu peristiwa yang luar biasa. Kay Rene dan Dee Ann menjadi sahabat dan juga ‘keluarga’. Allah jualah yang melapangkan hati mereka untuk menerima apa yang berlaku.


Sungguh tidak ada istilah sukar  atau mudah bagi Allah dalam pelaksaan qada dan qadarNya. Dengan kehendakNya, Dia berkata “jadilah” maka berlakulah apa yang ditakdirkan.
            
Sesungguhnya daripada Allah kita semua datang dan kepadaNya kita akan dikembalikan. Kehidupan di alam dunia ini bermula ketika dilahirkan dan sepanjangnya adalah perjalanan kembali kepadaNya. Semoga maksud firman Allah berikut menjadi panduan sepanjang perjalanan pulang kepada Allah.

Buku: Ya Allah... Akalku Terhad. Ilmuku Dangkal


Penulis                    : Sofiyah Satuyah Rasin
Sumber Pembelian : MPH 1Utama (2011)
Terbitan                 : Oasis Books Sdn Bhd
Harga                     : RM18

Odyssey dalam buku ini adalah tentang pengembaraan hati, silih bergantinya perasaan dalam menghadapi setiap peristiwa yang ditakdirkan sepanjang pengalaman hidup seharian walaupun pengalaman itu pada zahirnya kelihatan remeh-temeh, kecil dan dianggap ‘tiada apa-apa yang penting’ atau ‘biasa-biasa saja.’
Perasaan manusia bersilih ganti, datang dan pergi. Cinta, kasih, sayang, gembira, bahagia mengharap, bersemangat, yakin, bersyukur, sedih, kesal, marah, bimbang, risau, tercabar, malu, kagum, cemburu, kecewa, jijik dan sebagainya.

Setiap pengalaman dan perasaan adalah platform atau peluang mengenal Allah. Allah suka diri-Nya dikenali seperti maksud hadis qudsi:

"Aku adalah perbendaharaan yang tersembunyi. Aku suka dikenali, lalu Aku ciptakan makhluk supaya Aku dikenali"

Semoga silih bergantinya perasaan tidak menyebabkan kita lupa bahawa kita hanya hamba yang perlu tunduk dan pasrah kepada Allah yang Maha Agung. Apa jua yang datang, semoga doa dari maksud ayat quran berikut menjadi penawar.


TAJUK-TAJUK ODESSEY PENULIS :
Suara Hati si Kecil
Al Alim - Lautan Tidak Cukup Menjadi Tinta
Al Haadi & Google Earth
Inspirasi Al Mani' - Kisah Anak Imam
Respon Daripada Al Mujib
Al Mukmin dan Kota Janji 3 Dekad
An Nafi' dan Pokok Buluh
An Nur - Penyuluh Kegelapan Kepada Cahaya
Matahari, Jerebu dan An-Nur
Antara Ideal dan Realiti - Ruang Belas Kasih
Al Matin, Al Jabbar dan Al Wadud - Anugerah Buat Banduan
Kecacatan - Satu Anugerah
AS SAMI' - 'Biro Pengaduan' yang Tidak Perlu Rehat
Bom Atom & Seorang Tua Di hujung Kampung
Bryan Anderson & Ar Raqib
Al Khaliq Maha Pencipta dan Ciptaan
Sudah Lama Tidak Gelak...
Getaran hati Tufail Ibn 'Amr
Hijrah 3 Generasi Mariposa Monarca
Membeli Belah & Musim Hujan
Indahnya Ketidaksempurnaan
inspirasi Al Jami' Daripada Telefon Bimbit
Limpahan Kasih Sayang Rahman Ar Rahim Jangan Dicatu
'Kembali' Selepas 56 Tahun
Inspirasi Kerajaan Diri di Negara Brunei Darussalam
sampah, Semangat & Inspirasi daripada Al Ba'its
Kunci dan Inspirasi Al Fattah
Tiga Darab Lapan, 23 !
Larian Di Balapan Kehidupan
Inspirasi kemerdekaan Daripada Al Maalikul Mulk
As Syaakur : Maha Mensyukuri
Pelangi, Harapan & Kedamaian
Al Wadud - Pengawet Cinta
Petua Ibu, Beras dan Kehidupan
Nikmat, Rahmat dan Keadilan
Roda Kehidupan
Rujuk Pada Al Khaliq dan Al Amin
Sakit Gigi : Sapaan Daripada Al Muhyi dan Al Mumit
Samar di minda, Yakin di Hati
Tentang Rasa, Lidah dan Hati
Fenomena Spiritual : Energi Marah membuahkan bahagia
Wakil Allah di Hening Malam

Friday, August 5, 2011

Damba Cinta-Mu - Raihan





Tuhanku ampunkanlah segala dosaku
Tuhanku maafkanlah kejahilan hambaMu

Ku sering melanggar laranganMu
Dalam sedar ataupun tidak
Ku sering meninggalkan suruhanMu
Walau sedar aku milikMu

Bilakah diri ini kan kembali
Kepada fitrah sebenar
Pagi ku ingat petang ku alpa
Begitulah silih berganti

Oh Tuhanku Kau pimpinlah diri ini
Yang mendamba cintaMu
Aku lemah aku jahil
Tanpa pimpinan dariMu

Ku sering berjanji depanMu
Sering jua ku memungkiri
Ku pernah menangis keranaMu
Kemudian ketawa semula

Kau Pengasih Kau Penyayang Kau Pengampun
Kepada hamba-hambaMu
Selangkah ku kepadaMu
Seribu langkah Kau pada ku

Tuhan diri ini tidak layak ke syurga Mu
Tapi tidak pula aku sanggup ke neraka Mu

Ku takut kepadaMu
Ku harap jua padaMu
Moga ku kan selamat dunia akhirat
Seperti rasul dan sahabat




Dari Album Kedua : Syukur

Cinta Hakiki - Raihan




Telah lama cinta terbiar
Dari cinta yang suci
Telah lama cinta tersasar
Dari cinta hakiki

Kerna sekian lamanya
Manusia dibuai cinta nafsu
Kita sering menyangka
Cinta manusia itu yang sejati

Namun lupakah kita
Cinta nafsu selalu mengecewakan
Sering berubah tidak menentu
Seperti pantai dipukul ombak

Cintakan Allah cinta sebenarnya
Itulah cinta yang sejati
Kasihlah sesama manusia
Kerna cinta yang hakiki
Hanya untuk Tuhan Yang Esa

Cintakan Allah tiada kecewa
Engkaukan tenang di waktu susah
Kembalilah kepada Tuhan
Dia kan tetap menanti

Kehadiran hambaNya
Yang sebenar pasrah
Cinta kasih sayangNya tidak bertepi


Dari Album Ketiga : Senyum (1999)

Raihan - Carilah Cinta



Carilah cinta yang sejati
Yang ada hanyalah pada-Nya
Carilah cinta yang hakiki
Yang hanya pada-Nya Yang Esa

Carilah cinta yang abadi
Yang ada hanyalah pada-Nya
Carilah kasih yang kekal selamanya
Yang ada hanyalah pada Tuhanmu

Di dalam mencari cinta yang sejati
Banyaknya ranjau kan ditempuhi
Di dalam mendapat cinta yang hakiki
Banyaknya onak yang diredahi

Namun janji-NYA
Kepada hamba-NYA
Tidak pernah dimungkiri
Dan tidak pernah melupakanmu
Yakinlah kepada Tuhanmu
Kerna Dialah cinta hakiki


Dari Album : Demi Masa (2002)

Raihan - Kembali




Kehidupan yang kau lalui tiada bererti
Namun kau masih tak menyedari
Bila wajahmu pucat lesu terbujur kaku
Bimbang hidup kau kan berakhir
Tidakkah kau tahu Dia yang Maha Kuasa
Masihkah tak mengerti?
Tiada hidup tanpa-Nya... Allah
Subhanallah

Lalu kau pun tunduk membisu
Sejuta ketakutan
Bayangkan dosa mu bagai lautan
Haraplah diberi peluang
Umur yang panjang
Kau kan jadi hamba yang sejati

Allah Maha Pengasih
Allah Maha Pengampun
Kembalilah kepada fitrahmu
Allah Maha Pengasih
Allah Maha Pengampun
Sedarlah kau dari kesilapan mu

Lalu kau pun sujud mengaku
Hilang keangkuhanmu
Cabutlah noda hitam di hatimu
Haraplah di beri peluang
Beribadah kembali
Kau kan jadi hamba yang sejati

Engkau pun menyedari
Jangka waktu yang di beri
Kau pun sedari
Cinta-Nya yang abadi

Allah Maha Pengasih
Allah Maha Pengampun
Kembalilah kepada fitrahmu

Allah Maha Pengasih
Allah Maha Pengampun
Cintai Ilahi
Cinta yang hakiki
Subhanallah


Dari Album : Puji-Pujian (1997)