Kesegaran air yang belum tercemar di kampung ketika kecil dulu tidak dapat lagi dinikmati. Perigi di bawah bukit menjadi sumber air yang sangat berjasa. Kini bekas tempat peigi itu hanya rata dan dipenuhi pasir.
Entah ke mana air yang keluar dari mata air yang pernah memberi kesegaran kepada keluarga kami sekitar 40 tahun yang lalu. Berbanding sekarang memang terbayang sukarnya mengangkut air perigi itu dari kaki bukit dan dibawa ke rumah untuk digunakan seharian.
Alat yang keluarga kami miliki ketika itu hanyalah pengandar. Sekali perjalanan hanya dua baldi yang dapat diangkut ke rumah, setiap satunya digantung pada hujung pengandar tersebut. Itupun sebahagian airnya ada yang tumpah di sepanjang jalan. Pengandar pun kini pupus ditelan zaman teknologi yang semakin berkembang... bukan pengandar air sahaja yang pupus , nasi kandar zaman kini pun tidak lagi dikandar tetapi dihidang di atas meja.
Bercakap mengenai pengandar atau kandar, suatu kisah yang sangat menyentuh singgah di minda dan perasaan saya. Kisah seorang wanita tua dan pengandarnya. Tidak logik pada akal tetapi sangat menyegarkan hati.
Perempuan Tua, Pengadar Air dan Bunga
Suatu masa di negeri Cina, ada seorang perempuan tua yang miskin setiap hari berulang alik mengangkut air dengan pengandarnya. Dek kerana miskin, satu belas pada pengandarnya telah bocor dan satu lagi sempurna dan dalam keadaan baik.
Setiap kali mengangkut air, perempuan tua ini menerima hakikat bahawa belas yang bocor itu hanya tinggal separuh airnya apa bila sampai ke rumah dan yang satu lagi penuh.
Selama bertahun-tahun inilah yang dilalui oleh perempuan tua yang tabah ini. Bekas sempurna dan berjaya membawa air penuh bangga dengan dirinya yang mampu berkhidmat kepada tuannya sedangkan bekas bocor sentiasa merasa rendah diri atas kekurangannya. Pasti khidmat pada tuannya tidak sesempurna bekas yang sempurna. Kedua-duanya berada di hujung pengandar pada kedudukan yang berlawanan.
Selepas beberapa tahun dalam keadaan demikian, suatu hari di tepi sungai ketika rutin biasa mengambil air, si bekas rosak meluahkan perasaannya kepada perempuan tua tersebut dalam keadaan yang sangat sedih.
"Aku malu dengan diri sendiri. Aku ni bocor...tidak sempurna seperti bekasmu yang lagi satu. Bila sampai ke rumah, aku ttidak pernah berjaya membawa air sebanyak dia."
Perempuan tua berhati tabah dan mulia itu tersenyum lembut sambil berkata :
"Aku sudah lama tahu tentang keadaanmu yang bocor kalau itu yang engkau anggap sebagai tidak sempurna. Tapi kekurangan tidak bermakna engkau tidak berguna. Sebab itu aku menabur benih bunga di sepanjang pinggir jalan yang kita lalui setiap hari. Setiap hari engkaulah yang menyiram benih-benih bunga sehingga ia tumbuh dan menghiasi jalan itu".
"Aku memetik bunganya, dibawa balik dan menghiasi rumah sehingga suasana rumah begitu tenang dan indah. Suasana ini memberi kelapangan fikiran dan perasaan sehingga aku bertenaga untuk melalui setiap hari yang berlalu. Bunga itu memberi inspirasi yang tidak ternilai..."
"Tanpa engkau aku tidak dapat menikmati kesegaran bunga-bunga itu. Keindahan dan kesegaran ini semua tidak ada tanpa engaku."
"Kekuranganmu sesungguhnya membuahkan keindahan yang hanya dapat dihargai dan dilihat dengan mata hati yang cerah...jadilah dirimu yang seadanya. Apa yang engkau anggap ketidaksempurnaan dalam dirimu, itulah sumber keindahan yang berjaya menyejukkan hatiku seperti air yang segar memnghilangkan dahaga di tekak yang kering."
Hati itu dan hari-hari seterusnya merupakan hari-hari indah bagi si bekas yang tidak sempurna. Titis-titis air yang keluar daripada rekahan bocornya dibiarkan dengan rela jatuh satu-satu kerana dia tahu akan ada kehidupan lain yang tumbuh daripada apa yang 'terbuang' sepanjang perjalanan dari sungai ke rumah tuannya, si perempuan tua yang berhati mulia dan sentiasa bersyukur.
Bekas Bocor Yang Kita Miliki
Agaknya berapa ramai antara orang-orang terdekat seperti 'bekas bocor' dalam kehidupan kita. Orang-orang yang berhak menerima kasih sayang, perlindungan dan penghargaan tetapi mereka tidak mendapatkannya kerana mereka hanya 'bekas bocor' yang tidak mampu membawa 'air yang cukup' untuk kita. Mungkinkah pernah disingkirkan orang-orang tertentu hanya kerana mereka 'bekas bocor'.
Pernahkah kita dengan suci hati membantu mencari peluang dengan 'menabur benih-benih' supaya ketidaksempurnaan menjadi rahmat untuk seluruh alam? Atau 'bekas-bekas bocor' terus dibuang daripada kehidupan atau dianggap sebagai beban dan yang sering mereka terima hanyalah kata-kata sindiran dan penghinaan.
Alangkah indah jika memiliki seperti hati perempuan tua miskin pemilik 'bekas bocor' yang melengkapkan pengandarnya.
Alangkah indah, damai dan sejukanya memiliki ikatan kekeluargaan, ikatan persahabatan, ikatan kemasyarakatan, ikatan sebagai rakan kerja, ikatan antara majikan dan pekerja, antara peminpin dan rakyat seperti perempuan tua dan 'bekas bocor' pada pengandarnya.
Inspirasi Daripada An Naafi Maha Memberi Manfaat
Kesempurnaan hanya milik Allah. Dengan kesempurnaanNya, Dia menjadikan ketidaksempurnaan makhluk sebagai suatu rahmat. Maha Suci Allah yang An Naafi' (Maha Memberi Rahmat) daripada menciptakan suatu yang sia-sia.
Maksud surah Al-Mukminun, ayat 115 :
"Adakah kamu menyangka bahawa Kami menciptakan kamu sia-sia dan bahawasanya kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?
Andai rasa diri sempurna, manusia mungkin sahaja merosakkan dirinya dengan sikap sombong, bongkak dan ego sehingga memandang rendah terhadap manusia lain. Ketika menyedari diri lemah, kurang dan tidak sempurna.. baru tercetus keinginan untuk bergantung dan menumpang kesempurnaan daripada Allah yang Maha Sempurna sehingga kekurangan pada diri mampu membuahkan rahmat untuk seluruh alam.
Maksud surah Al-Isra, ayat 37:
"Dan janganlah engkau berjalan di muka bumi ini dengan bongkak. Sebab engkau tidak akan mampu menembus bumi, dan tidak pula dapat menjulang setinggi gunung."
Semoga ketidaksempurnaan sebagai makhluk tidak menghalang daripada bersyukur dan tidak juga menjadi penghalang untuk menjalankan peranan sebagai manusia yang membawa rahmat untuk seluruh alam seperti yang ternukil dalam surah An Anbiya, ayat 107 :
"Dan tiadalah kami mengutus engkau (Wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam."
No comments:
Post a Comment