Thursday, January 13, 2011

Kehidupan di awal pagi

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Assalammualaikum & selamat pagi, ;)

Tiba-tiba pagi ini saya terpanggil untuk membuka blog dan inilah kali pertama. Itupun atas sedikit bantuan dari roomate yang sudah ada sedikit sebanyak pengetahuan dan pengalaman membuat blog. Rasa segan pula.

Sepertimana niat dalam hati, sebaik sahaja solat Subuh saya ingin terus bangun. Bangun melihat kebangkitan pagi. Bangun mendengar kicauan burung-burung atau kokokan ayam. Bangun untuk melihat terpancarnya cahaya dan merasai bahang matahari, ciptaan Tuhan untuk kehidupan manusia. Bangun untuk melakukan sedikit pekerjaan atau menelaah ilmu yang belum habis difahami. Bangun untuk merasai kehidupan yang Tuhan beri setelah baru sahaja di alam 'kematian' separuh sedar (tidur). Betapa syukurnya.. Alhamdullilah.

Bangun untuk menunggu sementara masuk waktu solat sunat Dhuha dan Ishraq, iaitu sebenarnya bangun untuk memohon kepada Tuhan supaya Dia memberikan kehidupan pada hari ini penuh dengan kebaikan, dijauhkan dari keburukan serta supaya hati insan yang dosa ini diterangi dengan cahaya hidayah-Nya yang Maha Luas. Itulah doa selepas selesai solat sunat Ishraq.

Kehidupan pagi hari dimulakan dengan penyembahan, hajat dan doa  kepada empunya kehidupan sementara ini. Disusuli dengan membaca ayat-ayatNya yang terang lagi nyata. Yang jika difahami dan diamalkan menjadi pengubat kepada segala permasalahan dalam kehidupan. Yang kemudian melalui kehidupan dengan aman berpuncakan atas rasa rahmat dan kasih sayangNya, saya cuba membalas dengan menyebut nama-namaNya (zikir) sepanjang hari.

Dengan pengharapan yang penuh, semoga Tuhan sentiasa melindungi diri ini dari keburukan dan dimurahkan rezeki yang bukan sahaja hanya untuk sesuap nasi tetapi untuk mendapatkan ilmu yang berguna di dunia dan akhirat.

Semoga Tuhan memberi kekuatan pada diri ini untuk merasai kehidupan selepas solat Subuh sepanjang hayat tanpa merasa beban yang berat. Kerana saya tahu ia mengandungi banyak hikmah yang tidak terjangka. Bantulah aku Ya Allah. KepadaNya aku berharap.. Perkenankanlah.. Amin.

No comments:

Post a Comment