Dengan nama ALLAH yang Pengasih lagi Maha Penyayang.
Sumber : Google |
Kalau orang berkata kepada kita : “Engkau kurang ajar,” atau “Engkau tidak senonoh”, bagaimana perasaan kita ketika itu? Kalau rasa kehambaan kita tebal, kita akan berkata, “Memang benar, saya memang kurang ajar sama ada dengan Tuhan atau dengan manusia” atau memohon maaf sahaja. Tetapi seandainya jka tiada rasa kehambaan di dalam hati malah rasa tuan yang tebal, kita akan mudahnya melenting, marah, kita rasa tidak cukup senang dengan penghinaan itu. Maka kata-kata itu kita akan ingat sampai mati dan ingin membalas dendam kalau ada peluang. Begitulah sensitifnya manusia kalau orang tidak beradab dengannya.
Setiap orang, ingin orang lain beradab dengannya, sekalipun dia kurang ajar dengan orang lain. Secara sejagat, manusia sukakan adab yang baik. Orang kaya, miskin, orang jahat, orang tua, orang muda semuanya sukakan adab yang mulia.
Tuhan mewajibkan manusia beradab dan berakhlak dengan Allah dan dengan manusia. Tetapi umumnya manusia sangat menitikberatkan adab ini bila berhubung sesama manusia sahaja. Adab dengan Tuhan tidak dipedulikan sangat. Sepatutnya adab dengan Tuhan haruslah diperbaiki dan bagus dahulu kerana secara tidak langsungnya adab sesama manusia akan terbina dengan izinNya.
Beradab dengan Tuhan itu sangat susah. Kalau hati belum takut dan cinta kepada Allah, inilah yang menghalang manusia untuk beradab dengan Tuhan. Hati yang tidak kenal Tuhan itu menyimpan penyakit-penyakit mazmumah. Selagi hati manusia belum bersih dari penyakit hasad dengki, gila dunia, berdendam, gila nama, gila kuasa, riak, ujub, bakhil dan banyak lagi sifat-sifat keji yang lain bagi hati, selagi itulah Tuhan tidak dikenal, dihormati, disanjung, dibesarkan dan dimuliakan.
Bukti-bukti Susahnya Kita Hendak Beradab Dengan Tuhan, antaranya ialah :
1) Tuhan adalah cinta agung dan ‘sahabat’ yang sangat setia yang melindungi, memberi rezeki dan menjaga keselamatan kita. Begitu besarnya budi Tuhan kepada kita. Agung dan KuasaNya Dia ke atas kita tidak terhingga. Sepatutnya Tuhanlah yang paling kita cintai dan kita besarkan. Tapi hanya akal kita yang mengakui, manakala hati yang kotor dengan mazmumah menyebabkan kita lebih mencintai dan membesarkan dunia. Ertinya kita sudah biadab dengan Tuhan Yang Maha Berjasa.
2) Payah nak rasa Tuhan itu wujud , dan tahu tentang kita. Merasa kewujudan dn kehadiran Tuhan, merasai Tuhan Maha Melihat, Mendengar, Menguasai dan lain-lain itu adalah rasa-rasa bertuhan yang dituntut oleh Allah agar kita sentiasa mengingatiNya. Kita bersolat lima kali sehari semalam. Lima kali secara rasmi kita dibawa mengingati Tuhan, tapi apa yang kita ingat dalam solat kita? Sedangkan Allah berfirman yang bermaksud :
“Dirikan lah solat untuk mengingatiKu.”
Orang yang mengingati Allah akan rasa Allah itu wujud dan Allah Maha Mengetahui tentangnya zahir dan batin dirinya. Datang rasa takut dan gementar akan kehebatan Allah. Inilah yang dikatakan orang yang beradab dengan Allah.
Jika secara rasmi melalui solat pun kita gagal untuk beradab dengan Tuhan, maka pada waktu-waktu biasa , ketika bekerja, ketika bersama rakan, isteri, suami dan anak-anak, lebih-lebih lagilah sukar. Ini membuktikan solat kita belum membakar mazmumah yang menjadi penghalang untuk kita beradab dengan Tuhan. Riak, ujub, gila dunia, sombong, takabur, tamak, bakhil, sebenarnya masih bersarang di hati.
3) Apabila melihat alam, langit, gunung-gunang, laut yang terbentang luas, bencana alam seperti kebakaran, banjir besar, angin taufan, gempa bumi, kemalangan jiwa yang besar seperti terhempasnya kapal terbang yang mengorbankan berates-ratus penumpang, sediit pun tidak rasa takut dengan Tuhan. Sedikit pun tidak pernah mengambil pengajaran apakah semua ini berlaku secara tiba-tiba atau disebabkan kecuaian manusia atau dengan kuasa Tuhan yang mengaturkan semua ini supaya manusia dapat berfikir.
Apa sudah jadi dengan hati yang seumpama ini? Hati sebenarnya tidak berfungsi dengan sewajarnya. Ia sudah mati. Hati masih tidak sensitif, tidak rasa gementar, dan taku kepada Tuhan. Di mana adab kita dengan Tuhan?
4) Begitu juga jika dapat nikmat. Payah hati nak rasa malu dan bersyukur dengan Tuhan. Sebaliknya jika ada orang memberikan sesuatu yang berharga kepada kita, hati kita sangat gembira dan berterima kasih kepadanya. Timbul di hati ingin membalas pemberian itu. Kita puji orang itu berjela-jela panjangnya. Kalau dia orang besar, kita besar-besarkan dia. Kita sanjung dan hormati. Tetapi jika Tuhan memberikan kita nikmat, adakah mudah lidah kita mengucapkan “Alhamdullilah” (segala pujian kepada Allah) iaitu memulangkan semula rasa nikmat kesyukuran itu kepada tuan punya nikmat? Adakah mudah kita membalas nikmat Tuhan melalui perbuatan dengan melakukan semua suruhanNya? Adakah kita akan membesar-besarkanNya dengan zikir Alhamdullilah itu dan ucapan zikir-zikir yang lain?
Betapa manusia mudah lupa siapa dirinya. Siapa tuannya.
Suntingan koleksi asal dari artikel majalah Ana, Tuhan Rafiqul A’la (terbitan tahun antara 2000-2002) oleh Rashidi Abdullah.
No comments:
Post a Comment