Dengan nama ALLAH yang Pengasih lagi Maha Penyayang.
Sumber : Google |
Untuk mendekatkan diri kita dengan Tuhan, kita perlu memperbaiki diri. Memperbaiki diri di sini bukanlah bermaksud hanya memperbaiki diri yang zahir tetapi juga yang batin. Memperbaiki diri yang batin ialah dengan menyuci dan membersihkan roh dari najis-najis dan kekotoran-kekotoran ynag bersifat maknawi, yang melekat pada setiap wajah rohani kita sama ada pada akal, pada hati dan pada nafsu.
Najis akal ialah kesyirikan dan men’syariat’kan Tuhan dengan sesuatu yang lain. Najis akal termasuk juga segala pegangan kepada fahaman dan ideologi fahaman manusia.
Najis hati ialah segala sifat-sifat keji dan mazmumah yang bersarang di hati seperti riak, sombong, angkuh, tinggi diri, hasad dengki, pemarah, pendendam dan sebagainya.
Najis nafsu pula ialah segala dorongan jahat dan negatif yang kalau dituruti akan membuahkan dosa dan kemurkaan Allah S.W.T.
Apabila roh sudah diperbaiki dan disucikan maka akan terbukalah jalan untuk mengenal diri dan seterusnya mengenal Tuhan. Untuk mempunyai perasaan dan rasa bertuhan dan kehambaan. Untuk merasakan bahawa Allah sentiasa wujud di dalam hidup kita , yang sentiasa Melihat, sentiasa Mendengar, dan sentiasa Mengetahui akan hal kita zahir dan batin.
Jalan untuk memperbaiki diri ialah dengan berzikir. Bermula dengan zikir qauli (lidah), zikir fi’il (perbuatan) dan zikir qalbi (hati).
Zikir yang paling agung ialah solat. Di dalamnya terkandung segala bentuk zikir, segala bentuk amalan para malaikat dan segala bentuk amalan para nabi dan rasul. Di dalamnya kita meminta petunjuk , kita meminta ampun, kita mengadu dan kita bermanja dengan Tuhan. Di dalamnya juga kita memuji, membesarkan dan mensucikan Tuhan.
Di dalam solat, Allah mendidik kita. Namun demikian, Allah tidak mendidik semua orang yang mendirikan solat. Allah hanya mendidik orang-orang yang tertentu sahaja iaitu orang-orang yang khusyuk, tawaduk , khuduk dan ikhlas di dalam solat. Allah S.W.T. hanya mendidik orang-orang yang membawa fikiran dan hati mereka di dalam solat. Iaitu orang-orang yang faham apa yang mereka buat dan faham apa yang mereka lafazkan. Orang-orang yang dapat menghayati dan merasakan di hati tentang apa yang mereka buat dan lafazkan di dalam solat.
Bermula dengan takbiratul ihram (Allah Akbar). Jika difahami dan dihayati bersungguh-sungguh akan menimbulkan rasa tertentu di hati. ‘Allah Akbar’ di dalam tadbir itu bermaksud ‘Allah Maha Besar’. Ia merangkumkan sifat-sifat Allah yang hebat-hebat seperti sifat Gagah, Perkasa, Berkuasa, Yang Menghidupkan, Yang Mematikan dan banyak lagi melalui 99 nama-nama Tuhan. Apabila Dia berkata, “Jadi” maka “Jadilah ia”. Dengan tadbir itu, hati akan berasa takut dan gerun dengan Allah. Begitulah Allah mendidik kita. Apabila kita berasa takut dengan Allah, maka mudahlah kita menghindarkan diri daripada berbuat dosa dan kemungkaran serta segala apa yang Allah larangkan. Kita sentiasa akan takut tersisih dari rahmat dan keampunan serta kasih sayang Tuhan.
Namun begitu, jika perasaan takut sahaja yang Allah campakkan ke dalam hati orang-orang yang mendirikan solat, maka akan lahirlah hamba-hamba Allah yang sentiasa takut dan hanya berusaha untuk mengelak dari membuat kemungkaran dan dosa. Tidak ada dorongan untuk mencetuskan kebaikan-kebaikan yang lain. Oleh itu Allah syariatkan juga dalam solat supaya dibaca “Bismillahirrahman nirrahim” terutama pada setiap awal surah Al-Fatihah. Di dalam mazhab Syafie, Basmalah ini merupakan sebahagian daripada ayat Al-Fatihah yang wajib dibaca dalam solat.
Kalau Basmalah ini pula dihayati dengan bersungguh-sungguh, kita akan dapat merasakan bahawa betapa pemurah dan penyayangnya Tuhan yang sentiasa mencurahkan nikmatnya kepada manusia sama ada yang berbentuk lahiriah atau material mahupun maknawi atau spiritual. Dengan ini akan timbul rasa cinta dan kasih kepada Tuhan. Rasa cinta ini akan mendorong kita berbakti dan berbuat kebaikan untuk Tuhan serta berusaha dan berjuang untuk mendapat cinta dan kasih sayangNya.
Kita disyariatkan pula supaya membaca Hamdalah iaitu “Alhamdullilah” pada awal surah Al-Fatihah. Di sini kita memuji Tuhan sebagai tanda syukur dan terima kasih kita atas segala rahmat, nikmat dan kebaikan yang telah dikurniakanNya kepada kita.
Jadi, kita lihat, didalam solat itu terkandung berbagai didikan dari Tuhan yang di antara satu sama lainnya saling kait-mengait dan kuat-menguatkan. Solat itu ibarat satu siri atau satu set didikan rohaniah yang lengkap dan seimbang. Supaya hamba yang mendirikan solat itu terdidik dan terbina sebagai insan yang seimbang dan kukuh lahir batinnya.
Di samping untuk memupuk sifat takut dan cinta kepada Tuhan, berbagai-bagai lagi didikan terdapat di dalam solat. Doa yang disyariatkan contohnya, akan meningkatkan dn menajamkan lagi sifat-sifat hamba yang pada kita. Ianya akan menambahkan pergantungan, menaruh harapan dan penyerahan kita kepada Tuhan. Mengadu-ngadu kepada Tuhan di dalam solat pula akan melapangkan dada seseorang hamba kerana telah meyerahkan segala beban masalahnya kepada Tuhan untuk diselesaikan.
Begitulah caranya Allah mendidik hamba-hambaNya yang ikhlas, khusyuk, tawaduk dan khuduk di dalam mendirikan solat dengan berbagai didikan bermual dari takbiratul ihram hinggalah kepada salam.
Suntingan koleksi asal dari artikel majalah Ana, Wacana Alim (terbitan tahun antara 2000-2002) oleh Mejar (B) Abu Dzarin
No comments:
Post a Comment