Dengan nama ALLAH yang Pengasih lagi Maha Penyayang.
Sumber: Google |
Kalau kita perhatikan hidup manusia ini dengan teliti, kita akan dapati bahawa manusia ini tidak sedetik pun terlepas dari diuji. Dengan ujian kesusahan ataupun dengan ujian kenikmatan yang silih berganti siang dan malam. Kemudian manusia dituntut supaya bersabar dan menerima kesusahan serta bersyukur menerima nikmat. Kalau kedua-dua perkara ini manusia tidak mahu lakukan, Allah S.W.T. ada beriman di dalam sebuah hadis Qudsi yang maksudnya : “Kalau Aku uji kamu dengan kesusahan, kamu tidak mahu bersabar dan kalau Aku uji kamu dengan nikmat, kamu tidak mahu bersyukur, maka nyahlah kamu dari bumi dan langit Allah ini dan pergilah cari Tuhan yang lain. "
Jadi pada hakikatnya apa sahaja pergolakan dan perubahan yang berlaku dalam hidup manusia ini, ia hanya mempunyai dua sifat atau dua bentuk. Samada ujian kesusahan atau ujian nikmat. Atas kedua-dua bentuk ujian ini , hati kita perlu menerimanya dengan betul, iaitu sabar apabila menerima kesusahan dan bersyukur apabila menerima nikmat.
Di mana kedua-dua tuntutan ini jika sekali imbas kita lihat, bersabar itu lebih susah dan berat untuk dipraktikkan. Ini kerana dalam bersabar , hati manusia perlu melalui kesusahan, tekanan dan penderitaan. Emosi, fikiran dan ketenangan jiwa terganggu. Kebahagiaan hilang. Bersyukur pula sekali imbas ,nampak lebih senang dan mudah kerana hati berada dalam keadaan tenang dan gembira, tidak ada tekanan dan penderitaan.
Adakah ini benar?
Adakah bersyukur itu lebih mudah dari bersabar? Kalau benar kenapa tidak ramai orang mampu bersyukur? Kenapalah orang-orang yang benar-benar bersyukur itu sedikit sekali bilangannya sepertimana Allah di dalam Al-Quran yang bermaksud, “Sedikit sekali hamba-bamba-Ku yang bersyukur.”
Bersyukur ini sebenarnya berperingkat-peringkat. Ramai orang apabila mendapat nikmat memuji Allah. Mereka mengucapkan “Alhamdullilah”. Ini bersyukur cara biasa. Ramai yang boleh bersyukur dengan cara ini. Akan tetapi kalau sekadar ucapan sahaja, tetapi tunututan-tuntutan lain dalam bersyukur itu tidak dilaksanakan maka ditakuti ucapan “Alhamdullilah” itu seolah-olah hanya mempermainkan atau mempersendakan Allah sahaja.
Ramai juga orang apabila menerima nikmat atau diselamatkan dari bala, lantas mereka memuji Allah dan mengucapkan “Alhamdullilah” . Di samping itu hati mereka benar-benar merasa bahawa Allah lah yang telah memberi mereka nikmat itu dan Allah lah yang menjauhkan bala itu. Mereka diberi pahala kerana merasakan syukur itu di dalam hati. Ini syukur peringkat kedua.
Adapun syukur yang sebenar itu adalah apa yang diucapkan oleh lidah, apa yang dirasakan di dalam hati, lalu ia dilaksanakan dalam perbuatan. Di samping mengucapkan “Alhamdullilah” dan disamping merasa di dalam hati bahawa Allah lah yang mengurniakan nikmat tersebut, nikmat itu mesti digunakan atau dikorbankan ke jalan Allah. Ini hakikat kesyukuran yang sebenarnya.
Kalau kita kaya, kekayaan itu perlu digunakan ke jalan Allah. Contohnya untuk membantu fakir miskin, untuk jihad fisabilillah dan kemaslahatan umat Islam keseluruhannya. Begitulah juga dengan segala bentuk nikmat Allah yang lain. Semuanya perlu dimanfaatkan ke jalan Allah untuk mendapat keredhaanNya.
Firman Allah, “Kalau kamu bersyukur ke atas nikmat-nikmatKu, nescaya akan Ku tambah nikmat-nikmatKu. Tetapi jika kamu kufur, ingatlah sesungguhnya seksaanKu amat pedih.”
Syukur seperti inilah Allah suka. Dia akan tambah lagi nikmatNya, untuk ‘cover’ balik apa yang telah dikorbankan ke jalan Allah itu.
Di dalam bersyukur itu ada tugas, kerja dan tanggungjawabnya iaitu mengguna dan mengorbankan segala nikmat yang Allah kurniakan itu ke jalan Allah. Nikmat Allah itu perlu ditadbir, diurus dan digunakan ke jalan yang betul. Amat mudah bagi manusia lupa diri dan menggunakan nikmat Allah itu kepada jalan yang sia-sia. Kalau itu berlaku maka nikmat itu akan bertukar menjadi bala dan mendapat laknat daripada Allah.
Di dalam bersabar, kita tidak ada kerja dan tanggungjawab tambahan. Apa yang perlu ialah menjaga dan mendidik hati supaya dapat menerima ketentuan Allah dan bersangka baik denganNya.
Barulah kita faham kenapa Allah S.W.T berfirman bahawa sedikit sekali hambaNya yang bersyukur kerana bersyukur itu sendiri sebenarnya bukanlah suatu perkara yang mudah.
Sumber: Google |
Suntingan koleksi asal dari artikel majalah Ana, Wacana Alim (terbitan tahun antara 2000-2002) oleh Mejar (B) Abu Dzarin
No comments:
Post a Comment