Friday, July 26, 2013

Buku: Indahnya Tasawuf dan Hidup Sufi (Ustaz Yusri Abd. Karim)

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Saya nak berkongsi satu buku berkaitan ilmu Tasawuf iaitu;

Tajuk Buku             : Indahnya Tasawuf dan Hidup Sufi
Sumber Pembelian  : MPH Alamanda Putrajaya (6/10/12)
Terbitan                  : Ustaz Yusri Abd. Karim
Harga Buku            : RM25


Terdapat 15 bab iaitu:

Bab 1 - Sejarah Kewujudan Tasawuf
Bab 2 - Ajaran Tasawuf pada zaman Khulafa' al-Rasyidin
Bab 3 - Landasan Tasawuf; Ilmu dan Amal
Bab 4 - Ilmu-ilmu Dasar Kaum Sufi
Bab 5 - Sanad dan Khirqah dalam Ajaran Kaun Sufi
Bab 6 - Kekeliruan tentang Syariat dan Hakikat
Bab 7 - Sanggahan Terhadap Pembahagian Tasawuf
Bab 8 - Fenomena Syatahat dalam kalangan Ahli Sufi
Bab 9 - Akidah Hulul dan Wahdah al-Wujud
Bab 10 - Dasar Akidah Kaun Sufi
Bab 11 - Ahli Sufi Angkatan Pertama
Bab 12 - Cabaran Golongan Antitasawuf
Bab 13 - Fitnah Terhadap Sebahagian Wali ALLAH
Bab 14 - Perkembangan Tasawuf di Nusantara
Bab 15 - Mengenali Sufi Sejati dan Sufi Palsu.

Untuk bacaan penuh, dengan izin Allah saya nak berkongsi tentang Bab 4 iaitu  Ilmu-ilmu Dasar Kaum Sufi. Mengikut buku tersebut terdapat 22 dasar ilmu iaitu:

1)AL-TAUHID – Mengesakan ALLAH
2)AL-MA’RIFAH BILLAH – Mengetahui Sifat Wajib & Mustahil bagi ALLAH
3)AL-QANA’AH – Tenang, Ikhlas & Redha
4)AL-TAWAKKUL – Tawakal
5)AL-SYUKR - Syukur
6)AL-YAQIN - Yakin
7)AL-SHABR - Sabar
8)AL-UBUDIYAH - Taat
9)AL-IRADAH – Meninggalkan kebiasaan
10)AL-ISTIQAMAH – Konsisten/Berterusan
11)AL-IKHLAS – Tujuan hanya kerana ALLAH
12)AL-SIDQ – Mengucapkan kebenaran
13)AL-HAYA’ – ‘Menciutnya’ Hati
14)AL-ZIKR – Mengingati ALLAH
15)AL-FAQR – Kefakiran
16)AL-SYAUQ – Rindu/Getaran Hati
17)AL-MUJAHADAH Melawan hawa nafsu
18)AL-KHALWAH & AL-UZLAH – Memutuskan & Mengasingkan Diri/ Sifat tercela
19)AL-WARA’ – Meninggalkan hal syubhat
20)AL-SHAMT – Banyakkan diam
21)AL-KHAUF - Takut
22)AL-JU’WA TARK AL-SYAHWAH – Lapar & Tinggalkan Syahwat

Harapan semoga ilmu tersebut dapat diambil kefahaman yang benar dan mendalam. Semoga ALLAH memberi kita semua petunjuk akan kefahamannya dan kemudahan untuk mengamalkannya. Ameen.

Selamat membaca dan beramal. ^_^

1) AL-TAUHID – Mengesakan ALLAH

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

AL-TAUHID

Ertinya Al-Ifrad; iaitu mengesakan Allah, tidak menyekutukan-Nya  dengan suatu apa pun. Ertinya tidak ada suatu apa pun yang menyerupai ALLAH.

ALLAH S.W.T. berfirman:

Maksudnya:Dan Tuhanmu ialah Tuhan yang Esa, tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Dia yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.”  (Surah al-Baqarah: 163)
Imam al-Junaid al-Baghdadi berkata: “Tauhid ialah mengesakan al-Qadim (Yang tidak memiliki permulaan; Allah) daripada al-Muhdath (Segala yang baharu; makhluk).”

Dalam kesempatan lain tentang definisi tauhid, Imam al-Junaid juga berkata:

Tauhid ialah berkeyakinan bahawa Dia (Allah) tidak ada sekutu bagi-Nya, tidak terpisah-pisah, tidak melahirkan, dan tidak dilahirkan. Dan menafikan adanya sekutu bagi-Nya, menafikan adanya lawan bagi-Nya, menafikan adanya keserupaan bagi-Nya. Serta menetapkan kewujudan-Nya tanpa ada keserupaan (Tasybih), tanpa disifati dengan sifat-sifat benda (Takyif), tanpa membayangkan-Nya (Tashwir) dan tanpa menyerupakan-Nya dengan suatu apa pun (Tamtsil). Dia Allah tidak menyerupai apa pun dan tidak ada apa pun yang menyerupai-Nya.”

Imam al-Qusyairi berkata “Tauhid ialah menghukumi bahawa Allah tidak ada sekutu bagi-Nya.”

Imam Zunnun al-Misri ketika ditanya definisi tauhid, beliau menjawab:


Tauhid ialah berkeyakinan bahawa Allah Maha Kuasa terhadap segala sesuatu tanpa Dia menyatu dengan sesuatu itu sendiri, dan bahawa Allah Pencipta segala sesuatu tanpa Dia menyentuh segala sesuatu tersebut. Sesungguhnya Allah Pencipta segala sesuatu, dan tidak ada suatu apa pun yang menciptakan Allah. Dan apa pun terbayang dalam fikiranmu tentang Allah bukan seperti yang dibayangkan itu.”

2) AL-MA’RIFAH BILLAH – Mengetahui Sifat Wajib & Mustahil bagi ALLAH

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

AL-MA’RIFAH BILLAH

Iaitu mengetahui ALLAH dengan segala sifat-sifat yang wajib bagi-Nya dan sifat-sifat yang mustahil atas-Nya.

Imam al-Qusyairi berkata:

Makrifat (al-Ma’rifah) menurut para ulama ertinya mengetahui (al-Ilm). Maka setiap pengetahuan (al-Ilm) adalah kemakrifatan (al-Ma’rifah), dan setiap kemakrifatan (al-Ma’rifah) ialah pengetahuan (al-Ilm). Demikian pula setiap orang yang disebut sebagai Arif Billah ertinya Alim Billah dan setiap Alim Billah ertinya Arif Billah. Sementara menurut ulama sufi yang dimaksudkan dengan makrifah ialah mengetahui Allah dengan segala sifat-sifat dan nama-nama-Nya, kemudian berlaku benar dalam beribadah kepada-Nya, membersihkan diri daripada akhlak-akhlak tercela, istiqamah dalam kebenaran dan membelanya dalam setiap keadaan.”

3) AL-QANA’AH – Tenang, Ikhlas & Redha

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

AL-QANA’AH

Iaitu sikap keadaan yang tenang, ikhlas dan redha ketika ketiadaan atau kehilangan hal-hal yang menyenangkan (al-ma’lufat).

ALLAH S.W.T. berfirman:

Maksudnya: “ Sesiapa berbuat kebaikan baik lelaki atau perempuan dan dia seorang Mukmin maka Kami benar-benar akan memberikan kehidupan kepadanya akanHayat Tayyibah”. (Surah al-Nahl: 97)

Secara bahasa makna “Hayat Tayyibah” ialah kehidupan yang baik. Namun para ahli tafsir banyak yang mentafsirkan makna “Hayat Tayyibah” dalam ayat di atas ialah hidup dengan sifat qana’ah. Ertinya ialah kehidupan di dunia ini.

Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W. bersabda:

Maksudnya: “Sesuatu yang sedikit yang mencukupi lebih baik daripada sesuatu yang banyak yang melalaikan.” (Riwayat Abu Ya’la)


Imam Abdullah ibn al-Khafif, salah seorang sufi terkemuka berkata: “Qana’ah ialah meninggalkan kerinduan kepada sesuatu yang tidak ada, dan merasa cukup dengan apa yang ada.”

4) AL-TAWAKKUL - Tawakal

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

AL-TAWAKKUL

Iaitu melepaskan diri daripada sikap yang merasa diri ini memiliki daya dan upaya. Sikap tawakal seorang hamba kepada Allah akan menjadi kuat apabila benar-benar ia memiliki pengetahuan dan keyakinan bahawa Allah melihatnya dan memeliharanya.

Kemudian sikap tawakal letaknya atau berada di hati. Sementara berbuat atau melakukan sebab-sebab dengan anggota zahir tidak menafikan sikap tawakal yang berada dalam hati tersebut. Tentulah ini berdasarkan daripada segala kejadian apa pun sama ada yang sudah terjadi atau yang akan terjadi, daripada segala perkara yang baik mahupun perkara yang buruk adalah dengan kehendak dan ciptaan Allah S.W.T.

Imam Hamdun al-Qasar berkata: “Tawakal ialah meminta perlindungan kepada Allah.”

Sementara Imam Abu Abdillah al-Qurasyi, ketika ditanya definisi tawakal, beliau menjawab: “Tawakal ialah bersandar kepada Allah dalam setiap keadaan.”

Imam Ahmad ibn-Masruq berkata: “ Tawakal ialah berserah diri (ikhlas) terhadap segala ketentuan Allah.


Imam Abu Nasr al-Sarraj berkata: “ Syarat tawakal sebagaimana yang dikatakan oleh Abu Turab al-Nakhsyabi, ialah mencampakkan badan hanya untuk ibadah kepada Allah, mengaitkan hati hanya kepada-Nya, tenang dengan apa yang ada, jika diberi ia bersyukur, dan jika tidak diberi ia bersabar.”

5) AL-SYUKR - Syukur

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

AL-SYUKR

Iaitu menggunakan segala nikmat yang dikurniakan mengikut jalan syariat dan menjaga kenikmatan tersebut daripada sesuatu yang diharamkan.

Sebagai contoh nikmat tubuh dengan segala anggota-anggotanya, hanya digunakan dalam melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhkannya daripada segala yang dilarang oleh-Nya.  Ia merupakan definisi syukur yang wajib.

Adapun syukur yang sunat adalah dengan memperbanyakkan memuji Allah dengan lidah, seperti mengucapkan “al-Hamdulillah..” dan sebagainya.


Pernah Imam al-Sirri al-Saqti bertanya kepada Imam al-Junaid al-Baghdadi ketika umurnya tujuh tahun: “Wahai anakku, apa yang engkau ketahui tentang makna bersyukur kepada Allah?” Imam al-Junaid al-Baghdadi menjawab: “Bersyukur kepada Allah itu ialah tidak menggunakan segala nikmat yang telah Allah kurniakan dalam kemaksiatan kepada-Nya.”

6) AL-YAQIN - Yakin

Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

AL-YAQIN

Iaitu keadaan di mana seseorang merasakan hilangnya perkara-perkara yang merintangi.

Imam Zunnun al-Misri berkata: “Keyakinan menjadikan seseorang memiliki angan-angan yang pendek. Angan-angan yang pendek menjadikan seseorang memiliki sifat zuhud. Zuhud menjadikan seseorang mewarisi hikmah. Dan hikmah menjadikan seseorang dapat melihat akibat-akibat daripada berbagai-bagai-bagai perkara atau pekerjaan.”

Imam al-Sirri al-Saqti berkata: “Keyakinan adalah keadaan di mana engkau merasa tenang sekalipun berbagai-bagai-bagai hentaman datang kepada hati, hingga engkau benar-benar merasa tenang bahawa pekerjaan apa pun yang engkau lakukan *tidak akan memberi manfaat kepadamu dan tidak akan mencegah sesuatu yang telah dikehendaki oleh Allah.”


*Mengikut pemahaman penulis ayat “tidak akan memberi manfaat kepadamu” bermaksud bukan untuk kepentingan diri sendiri. Allah Lebih Mengetahui.